Dr. Zulkifli Hasan (paling kanan) semasa membentangkan kertas pada Grand Hajj Symposium di Jedaah hari ini.

JEDDAH – Lembaga Tabung Haji kekal sebagai model global unik yang wajar dicontohi dalam pengurusan kewangan Islam bagi ibadah haji, yang menggabungkan fiqh dan ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Lembaga Tabung Haji menjadi bukti kejayaan ijtihad berasaskan ketelitian ilmiah dan praktikal sehingga muncul sebagai institusi yang memberi manfaat besar kepada umat Islam serta inspirasi kepada dunia Islam.

Bahkan, Malaysia juga mempunyai kedudukan penting dalam landskap ijtihad kontemporari melalui institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa Makaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dalam pembentangannya di Grand Hajj Symposium hari ini, beliau berkata, Malaysia komited terhadap pendekatan ijtihad kolektif dan kontemporari dalam pengurusan ibadah haji bagi memastikan pelaksanaan rukun Islam kelima itu terus relevan dengan cabaran semasa termasuk dalam aspek kesihatan, teknologi dan pengurusan jemaah.

Zulkifli berkata, Malaysia menyifatkan ibadah haji sebagai medan utama yang menuntut penggabungan ijtihad fiqh dengan keperluan perubatan, pentadbiran serta teknologi moden, selaras dengan maqasid syariah.

“Dunia Islam sedang menyaksikan perubahan besar dalam aspek sosial, teknologi dan pengurusan yang menuntut para fuqaha menggerakkan ijtihad, bukan untuk mengubah perkara tetap dalam agama, tetapi bagi memelihara roh dan kelangsungan syariat,” katanya.

Dianjurkan kali ke-50 oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, simposium itu disertai para menteri, ulama, pemikir, penyelidik dan pakar terkemuka dari seluruh dunia Islam sebagai kesinambungan kepada sokongan padu kepimpinan Arab Saudi dalam memperkasa sistem perkhidmatan jemaah haji.

Acara ini turut meneliti penggunaan ilmu, inovasi, data dan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan operasi serta meramal masa depan perkhidmatan haji.

Beliau turut menegaskan, prinsip memudahkan atau al-taysir merupakan aspek utama dalam ibadah haji dan perlu diaplikasikan dalam menangani cabaran semasa termasuk pengurusan jemaah, krisis kesihatan dan penggunaan teknologi digital.

Antara contoh ijtihad kontemporari yang diketengahkan ialah pengawalan jumlah jemaah dan pergerakan manusia bagi mengelakkan kemudaratan serta menjaga keselamatan nyawa.

“Para ulama mendasari pendirian ini dengan dua kaedah fiqh utama iaitu ‘kemudaratan hendaklah dihapuskan’ dan menolak mudarat didahulukan daripada memperoleh manfaat”, yang menegaskan pemeliharaan nyawa lebih utama daripada akses tanpa kawalan.

“Keputusan ini turut disahkan secara rasmi oleh Majlis Ulama Arab Saudi dan kemudiannya dipersetujui oleh Liga Dunia Islam serta Akademi Fiqh Islam Antarabangsa,” ujarnya.

Begitu juga dengan keputusan Majlis Ulama yang memutuskan seseorang tidak memperoleh permit haji dianggap tidak berkemampuan untuk menunaikan kewajipan tersebut dari sudut syarak, menunjukkan konsep istito‘ah pada masa kini merangkumi aspek kesihatan, kemampuan kewangan dan juga kelulusan peraturan.

Beliau turut mengambil contoh pandemik Covid-19 bagaimana ulama memutuskan hukum harus dalam pengambilan vaksinasi dan penangguhan sementara ibadah haji demi menjaga nyawa manusia.

Katanya, Malaysia memuji penggunaan kecerdasan buatan (AI), sistem pendaftaran elektronik dan aplikasi digital seperti Nusuk yang disifatkan membuka peluang besar dalam memudahkan urusan jemaah haji.

Dalam rumusan pembentangan tersebut, beliau berkata, Malaysia mencadangkan agar pendekatan ijtihad kolektif diperkasakan melalui kerjasama antara bidang syariah, perubatan, teknologi dan sains sosial, selain memperkukuh jaringan akademik antara institusi Islam dunia.

Malaysia juga menyeru supaya hasil-hasil ijtihad daripada seminar dan muzakarah ilmiah didokumentasikan serta disebarkan melalui platform yang mudah diakses oleh ulama dan jemaah haji.

Beliau menegaskan, pendekatan ijtihad kolektif perlu diperkasakan melalui kerjasama antara pakar syariah, perubatan, teknologi dan sains sosial bagi memastikan pengurusan haji terus relevan dengan cabaran masa depan.

Zulkifli yang ditemui selepas acara itu berkata, Malaysia tidak memerlukan badan khusus yang lain bagi melaksanakan kajian fiqh ibadah haji.

“Malaysia sudah mempunyai kerangka yang baik untuk menangani sebarang persoalan dan penyelesaian melibatkan kajian fiqh bagi isu-isu yang ibadah haji.

“Selain Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) yang diadakan setiap tahun, Malaysia juga mempunyai pakar berwibawa yang mampu menangani perubahan dan realiti yang berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast