PENGUMUMAN Barisan Nasional (BN) mahu bertanding solo dalam Piihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu menggoncang dan mengakibatkan satu gempa berskala besar dalam medan demokrasi negara.
Ini seperti satu letusan yang menjulang tinggi dan larvanya segera dirasai sehingga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru sehari selepas itu mengeluarkan kata-kata yang membara dan menghamburkan tsunami.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberi amaran keras bahawa PH sudah bersedia untuk meletakkan calon di semua kerusi di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang jika rundingan politik menemui jalan buntu.
“Kalau inilah pilihan mereka, PH akan bertanding di semua kawasan …dan kita pantau seluruhnya… saya akan bincang (dengan) kawan-kawan, apakah kita bersedia untuk lakukan segera (PRU)?” katanya.
Beliau juga membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Anwar berkata, jika rakan kerjasama memilih untuk bertempur dan meretakkan hubungan, beliau tidak teragak-agak untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi menentukan masa depan kepimpinan negara.
“Malah, dalam tempoh terdekat saya kena panggil pimpinan PH untuk berunding… kita harus berfikir secara serius… kalau inilah cara kita memperkotak-katikkan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan pilihan raya umum seluruh negara,” katanya.
Pengumuman BN Johor diikuti ucapan berapi Anwar itu seperti satu renjatan politik yang membuatkan banyak pihak seperti terjaga dari lena – malah seperti mula menjadi igauan ngeri dan barometer politik tanah air terus mencatat suhu yang tinggi.
Sewajarnya pendirian BN Johor itu dihormati. PH atau Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak berpuas hati boleh mencatur langkah yang sama dalam PRN kali ini.
Bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila BN Johor memutuskan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini. Sudah dijangka kata sesetengah pihak termasuk Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
BN Johor tidak menimbal balik langkah politik terdahulu dengan bekerjasama dengan PH untuk PRN kali ini, sama seperti PRN Johor pada Mac 2022.
Sebelum keputusan bergerak solo diputuskan, sudah ada perbincangan antara BN Johor dan peringkat tertinggi PH di peringkat Pusat untuk meneroka kerjasama dalam PRN kali ini tetapi tidak dipersetujui atau dimeterai.
Ini kerana BN Johor tetap tidak mahu berkolaborasi dengan PH. Mereka kakal mahukan autonomi politik mungkin kerana merasakan peluang untuk kembali menjadi kerajaan adalah cerah dan apabila menang PRN tidak perlu berkongsi kuasa dalam kerajaan.
Tidak dinafikan keputusan bergerak solo ini sebagai satu taktikal politik untuk mengekalkan status qou tetapi jika tersalah langkah akan terbungkam. Tiada mana-mana pihak yang akan memberi laluan mudah.
UMNO pernah tumbang di Johor dalam PRU pada 2018 iaitu tempat kelahirannya sendiri. Walaupun UMNO Johor bukan versi UMDAP seperti di peringkat Pusat, ini bukan satu faktor kebergantungan.
Realiti politik Johor sudah berubah, terutama apabila sokongan pengundi Melayu semakin berpecah dan komposisi pengundi bukan Melayu masih besar.
Jika keputusan tanding di semua 56 kerusi kerana merasakan semua peruntukan dalam Belanjawan Johor 2026 yang diberikan dapat dipulangkan semula dalam bentuk undi – ini belum tentu berlaku atau satu jaminan.
Ini seperti yang didakwa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor iaitu kaedah diamalkan BN negeri adalah ‘cash is king’, sama seperti diamalkan kerajaan terdahulu. Namun rakyat sudah jauh berubah dan matang.
Perlu dikaji realiti di lapangan. Sentimen pengundi kini berbeza. Realiti politik Johor sudah berubah, pengundi Melayu sudah berpecah dan bukan lagi majoriti menyokong UMNO dan itu boleh dibuktikan melalui dua pilihan raya sebelum ini.
Semasa pilihan raya pada 2018, UMNO buat pertama kali tewas sekali gus tidak lagi memegang tampuk pemerintahan manakala dalam pilihan raya pada 2022, meskipun menang tetapi jumlah pengundi dikatakan ‘tidak bertambah’.
Ini kerana pada pilihan raya 2018, pengundi Melayu dan bukan Melayu berpihak kepada PH manakala pada pilihan raya 2022, kira-kira 30-40 peratus pengundi Melayu beralih menyokong PN. Pengundi Melayu jelas sudah berpecah.
Pada PRN akan datang akan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih. Jika BN benar-benar mahu bertanding solo, tindakan ini perlu dibuktikan nanti dan sekiranya tidak ada kerusi bertindih dengan PH, ini bermaksud bukan bergerak solo.
Ini kesepakatan ‘jalan belakang’ dan tidak mustahil akan ada kerajaan Perpaduan 2.0 selepas pilihan raya di peringkat Pusat atau negeri apabila masing-masing bertanding solo dan selepas itu bergabung semula atas dasar ‘kestabilan politik’.
Jika BN hanya mengharapkan pengundi Melayu di Johor untuk menang PRN, jumlahnya hanya kira-kira 55 peratus manakala selebihnya adalah pengundi Cina, India dan lain-lain semuanya sekitar 45 peratus.
Sekiranya juga BN mengharapkan pengundi muda 18 tahun yang pertama kali mengundi selain menganggap pengudi Johor ‘fixed deposit BN’, ini juga bukan faktor pendorong untuk keputusan bergerak solo dalam PRN.
Cabaran sukar buat BN juga adalah untuk meraih undi di kawasan bandar terutama Melayu urban dan bukan Melayu di kawasan Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang yang merupakan kubu PH.
Keputusan PRN Johor 2022 juga bukan gambaran mutlak sokongan rakyat ketika ini kerana pilihan raya tersebut berlangsung dalam keadaan luar biasa selepas Covid-19.
Keadaan pada masa itu jelas memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu sekitar 54 peratus termasuk komposisi pengundi secara keseluruhan.
Dalam konteks ini, BN amat perlukan sokongan kira-kira 40 peratus pengundi Melayu yang sudah beralih menyokong PN selain undi 18 tahun untuk justifikasikan keputusan bertanding solo.
Walaupun dikatakan akar umbi mahukan UMNO bertanding solo dan di peringkat negeri tidak mempunyai masalah, tetapi UMNO Johor tidak terlepas dan tetap memikul beban isu-isu nasional terutama kepimpinan tertingginya yang terpalit kes rasuah.
Jika tidak berhati-hati, dibimbangi kata-kata Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dalam konvensyen tersebut akan menjadi kenyataan.
Katanya yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, PH negeri berazam mahu ‘menguburkan’ BN buat kali kedua pada PRN Johor akan datang.
“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri ini pada 2018. Dalam PRN kali ini kita akan kuburkan mereka kembali untuk kali kedua,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.
Sama ada BN, PH atau PN yang akan memahat nesan politiknya pada PRN kali ini, apa yang pasti sudah pasti akan menjadi medan pertembungan sengit antara tiga gabungan parti politik berkenaan.
Siapa sebenarnya yang akan terkorban atau dikuburkan nanti, masih menjadi persoalan.- MalaysiaGazette
















