Moraton Hassan bersama menantunya, Azizah Wahab.

MAKKAH – Benarlah seperti kata agamawan, setiap rezeki telah ditentukan Allah SWT. Selagi bernyawa, selagi itu ada rezeki dan peluang yang dikurniakan-Nya.

Pegangan itu juga sentiasa terpahat dalam hati jemaah haji tertua Malaysia musim ini, Moraton Hassan, 88, yang akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas bertahun-tahun menyimpan impian menjadi tetamu Allah.

Warga emas dari Bukit Naning, Muar itu mengakui tidak pernah menyangka akan dapat peluang menunaikan haji pada usia lanjut selepas pernah mengabaikan tawaran daripada Lembaga Tabung Haji sebelum ini.

Menurutnya, ketika menerima tawaran pertama suatu ketika dahulu, dia memilih untuk mendiamkan diri kerana memikirkan siapa yang sanggup menemaninya ke Tanah Suci.

Moraton yang kehilangan suami sejak 25 tahun lalu berkata, dia tidak mahu membebankan lima anak lelakinya yang sudah mempunyai komitmen keluarga sendiri.

Azizah Wahab yang menemani Moraton Hassan ke Tanah Suci.

Lebih membuatkan hatinya berat, ketika itu kesemua 12 cucunya masih kecil dan memerlukan perhatian daripada ibu dan bapa masing-masing.

“Tahun lepas pulak makcik dapat tawaran lagi, tapi terlepas pandang dalam THiJARI. Tapi hati ini tak pernah berhenti berdoa supaya Allah bagi peluang lagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Meskipun berdepan masalah tekanan darah tinggi dan penglihatan, Moraton tidak pernah memadamkan harapan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Katanya, dia juga tidak ambil hati dengan kata-kata segelintir pihak yang beranggapan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan tidak lagi diberi peluang menunaikan haji.

“Bila mak cik cakap teringin pergi haji ada yang kata peluang mak cik dah tiada sebab tua, ada penyakit.

“Kalau ada orang cakap macam itu, mak cik sabar saja. Pada mak cik semuanya ketentuan Allah SWT. Dia yang menentukan,” katanya perlahan.

Moraton mengakui dia tidak mampu menahan sebak sehingga air mata tumpah apabila rayuan yang dibuat selepas terlepas pandang tawaran tahun lalu diluluskan oleh TH.

Lebih menggembirakan hatinya apabila menantunya, Azizah Wahab, 50, sanggup menjadi peneman sepanjang berada di Tanah Suci.

Azizah berkata, dia menerima tanggungjawab menjaga ibu mentua dengan hati terbuka dan rasa syukur demi memenuhi amanah suaminya.

Guru di Sekolah Kebangsaan Selandar, Melaka itu berkata, segala persiapan Moraton ke Tanah Suci juga berjalan lancar dengan bantuan ahli keluarga lain.

“Cuma mak perlu jalani pemeriksaan lanjut untuk mata. Yang lain semua okay, alhamdulillah,” katanya.

Moraton yang pernah bekerja sebagai penoreh getah ketika muda bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk melakukan umrah, tawaf sunat serta menunaikan solat di Masjidil Haram.

Malah katanya, dia turut berpeluang mengikuti ziarah luar sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mak cik bahagia di sini. Makan pun sedap, apa yang terasa nak makan semuanya ada, alhamdulillah,” ujarnya sambil tersenyum.

Menjelang wukuf di Arafah tidak lama lagi, Moraton terus memanjatkan doa agar diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah serta memperoleh haji mabrur.

“Selain doa dipanjangkan umur agar dapat tengok cicit nanti, makcik juga mahu mendoakan anak-anak dan saudara-mara,” katanya penuh harapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast