Ng Lum Yong

KUALA LUMPUR – Ketiadaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa mampu memperkuatkan semula parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16) akan datang kerana parti berkenaan tidak lagi perlu berdepan kelompok yang menganggap hanya mereka sahaja sentiasa betul.

Salah seorang pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, parti sejak awal dibina atas semangat reformasi dan perjuangan berbilang kaum, bukannya bergantung kepada personaliti mana-mana individu.

Menurutnya, ramai dalam parti sebelum ini terpaksa ‘menghadap’ Rafizi dan sekutunya yang didakwa sering menganggap pandangan mereka sahaja paling tepat.

“Memang tidak dinafikan Rafizi dan sekutunya banyak menyerang pihak lawan menerusi fitnah serta adu domba yang berkesan namun sikap sama turut dibawa ke dalam parti sehingga kadang-kala menimbulkan masalah kepada pimpinan atasan,” katanya.

Beliau mendakwa, budaya sedemikian turut menyebabkan berlaku ketegangan dalaman dan menjejaskan usaha memperkukuh parti menjelang PRU akan datang.

Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin menyifatkan manifesto Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dibentangkan Rafizi sebagai ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan dalam realiti pentadbiran negara.

Menurut Mashitah, 12 agenda yang diketengahkan bekas Menteri Ekonomi itu sememangnya kedengaran menarik namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, agenda 12 perkara Bersama dijangka meningkatkan penelitian terhadap Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, situasi itu sekali gus mendorong pengundi menilai semula rekod serta prestasi kedua-dua pemimpin berkenaan ketika berada dalam kerajaan dari tahun 2022 hingga 2025.

Azmi turut berkata, wujud risiko politik memandangkan banyak janji manifesto Bersama menyentuh secara langsung bidang yang pernah berada di bawah pengaruh kedua-dua pemimpin itu ketika berada dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast