Taman Eko Rimba Ulu Bendul

KUALA LUMPUR – Penutupan Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dilanjutkan sehingga 23 Jun ini selepas pihak berkuasa mengesan tujuh kes leptospirosis (kencing tikus) baharu berlaku di pusat rekreasi popular itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS), Mohd. Yussainy Md. Yusop berkata, larangan bagi semua jenis aktiviti dilanjutkan bertujuan mengawal keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat peningkatan kes kencing tikus di kawasan itu.

Menurut beliau, penutupan itu bagi membolehkan pihak pengurusan menjalankan kerja sanitasi, pembersihan rapi, dan pemantauan kualiti air demi memastikan keselamatan pengunjung pada masa hadapan.

“Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah (PKD) menerima pertambahan tujuh kes kencing tikus disahkan positif pada 18 Mei membabitkan individu yang mempunyai sejarah mandi di kawasan berkenaan pada 10 Mei.

“Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif ialah 11 kes. Justeru penutupan pusat rekreasi itu dilanjutkan untuk tempoh sehingga 23 Jun.

“Penutupan itu mengambil kira tempoh inkubasi daripada tarikh bermula kes terakhir bergejala dengan tarikh terakhir direkodkan adalah pada 15 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yussainy berkata, sepanjang tempoh itu orang awam dilarang menceroboh masuk ke kawasan berkenaan dan kegagalan mematuhi arahan terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah peraturan sedia ada.

Sebelum ini, taman rekreasi itu ditutup hingga 24 Mei bagi semua jenis aktiviti untuk tujuan kawalan keselamatan dan kesihatan awam susulan terdapat empat kes kencing tikus di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast