Pelancaran Ston Robot dianggap sebagai satu pencapaian penting dalam industri teknologi dunia selain memperlihatkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi antarabangsa.

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menarik minat pelabur antarabangsa apabila syarikat robot angkasa terkemuka dunia dari China iaitu Ston Robot memilih negara ini sebagai hab strategik antarabangsa untuk memperluaskan teknologi robot angkasa mereka ke pasaran global.

Pengerusi syarikat, Bill Wang berkata, Malaysia dipilih kerana mempunyai ekosistem perdagangan antarabangsa yang kukuh, kedudukan strategik di ASEAN, kelebihan masyarakat pelbagai budaya serta infrastruktur teknologi yang semakin berkembang.

Menurut beliau, syarikatnya turut merancang menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk untuk memperluaskan pasaran ke Asia, Timur Tengah, Eropah dan negara-negara lain di seluruh dunia.

“Pakar industri percaya bahawa dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan, automasi dan teknologi aeroangkasa, robot angkasa bakal menjadi salah satu sektor paling penting dalam ekonomi global masa depan.

“Pelancaran Ston Robot juga dianggap sebagai satu lagi pencapaian penting dalam industri teknologi dunia selain memperlihatkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi antarabangsa, malah turut mencerminkan pengaruh inovasi dan teknologi robotik Asia yang semakin berkembang di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelancaran robot angkasa yang pertama di dunia itu, Ston Robot diadakan di pameran industri dan automasi terkemuka Asia, Metaltech & Automex 2026 yang berlangsung di MITEC ketika ini.

Pameran itu menghimpunkan syarikat teknologi industri antarabangsa, jenama automasi, pemimpin industri, pelabur serta wakil media bagi menyaksikan perkembangan masa depan teknologi moden dan inovasi global.

Mengulas lanjut, Wang menambah, dengan gabungan sistem kecerdasan buatan (AI) yang canggih, keupayaan kejuruteraan robotik berteknologi tinggi serta aplikasi futuristik teknologi angkasa, Ston Robot berjaya menarik perhatian ramai pembeli antarabangsa, rakan teknologi dan delegasi korporat sepanjang acara berlangsung.

“Inovasi yang dipamerkan melambangkan era baharu industri robot angkasa serta memperlihatkan kebangkitan teknologi Asia di persada dunia selain pemilihan Malaysia sebagai pusat operasi global syarikat.

“Metaltech & Automex 2026 sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai antara pameran industri dan automasi paling berpengaruh di rantau ini dengan menyediakan peluang kerjasama antarabangsa, pertukaran teknologi dan pembangunan perniagaan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast