AMPANG – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR akan mengambil alih sementara pentadbiran Cabang Pandan dan Ampang selama satu hingga tiga bulan susulan perkembangan terbaharu melibatkan kepimpinan cabang berkenaan, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan gerak kerja parti terus berjalan lancar selain menyusun semula pusat khidmat, jentera dan pengurusan di kedua-dua kawasan terbabit.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengurusan di peringkat Parlimen Pandan dan Ampang akan turut dipantau oleh Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Pejabat Perdana Menteri akan pantau dan Pandan menjadi Parlimen angkat baharu Perdana Menteri.
Kita nak susun semula pusat khidmat, jentera dan pengurusan supaya semuanya kembali stabil,” katanya ketika berucap pada Himpunan Setia Keadilan Pandan yang turut dihadiri Zafrul di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Amirudin meminta semua anggota parti memberi ruang kepada kepimpinan untuk menguruskan keadaan serta menegaskan PKR mempunyai pengalaman luas dalam berdepan pelbagai cabaran termasuk sabotaj dalaman dan serangan politik.
“Parti ini sudah melalui pelbagai ujian, tetapi semangat ahli dan idealisme perubahan menjadikan kita terus bertahan sehingga berjaya menjadi kerajaan hari ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu Amirudin menegaskan, kekuatan PKR terus bertahan kerana parti itu dibina atas gagasan reformasi dan perubahan negara, bukannya semata-mata untuk merebut jawatan politik.
Beliau berkata, sokongan daripada MPN, pimpinan cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR memberi ruang kepada parti untuk terus melaksanakan agenda reformasi walaupun kini berada dalam kerajaan perpaduan yang memerlukan rundingan bersama parti-parti gabungan lain.
Amirudin turut memberitahu, PKR berjaya bertahan lebih dua dekad walaupun pernah mengalami kekalahan teruk kerana perjuangan parti itu berasaskan idealisme perubahan untuk negara.
“Parti ini tumbuh dan besar dengan gagasan yang besar. Bukan sekadar nak letak siapa jadi Perdana Menteri atau siapa jadi ahli Parlimen, tetapi bagaimana kita nak lakukan perubahan untuk negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyentuh tindakan beberapa pemimpin yang keluar parti sebelum ini namun menegaskan PKR tetap mampu bergerak ke hadapan.
Katanya, ramai pemimpin termasuk bekas Timbalan Presiden, Menteri Besar, Ketua AMK dan Ketua Wanita pernah meninggalkan parti, namun PKR terus kukuh dan mencatat kemenangan lebih besar dalam pilihan raya.
“Ada yang keluar parti beramai-ramai, tetapi Alhamdulillah parti ini terus mara. Kalau rasa ada perjuangan lebih besar, teruskan secara sihat, tetapi jangan rosakkan perjuangan yang sedang kita bina,” katanya. – MalaysiaGazette
















