GEORGE TOWN – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung insiden membaling objek berat di Pangsapuri Greenlane Heights Blok H, Jalan Gangsa di sini yang mengakibatkan kerosakan terhadap dua kenderaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, setakat ini, pihaknya menerima laporan daripada dua mangsa membabitkan anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM2,000.
“Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes ini mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.
“Justeru kita nasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan kes,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng menyifatkan kejadian yang berlaku di pangsapuri itu bukan kes terpencil kerana beberapa insiden sama pernah berlaku sebelum ini termasuk di kawasan berhampiran seperti Greenlane Park Condominium.
Jelasnya, kejadian terbaru di Greenlane Heights Blok H berlaku pada 18 Mei lalu apabila beberapa batu bata dipercayai dibaling dari bangunan itu sehingga merosakkan dua kenderaan yang diletakkan di parkir bawah.
“Syukur setakat ini tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dan hanya membabitkan kerosakan harta benda.
“Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian selain merosakkan harta benda termasuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.
“Justeru saya berharap individu bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Connie Tan berkata, penduduk di kawasan perumahan bertingkat perlu memainkan peranan lebih aktif bagi membantu pihak berkuasa membendung kejadian seumpama itu.
“Masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada rondaan polis semata-mata sebaliknya perlu menjadi ‘mata dan telinga’ komuniti dalam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian berkenaan.
“Isu itu perlu ditangani secara serius menerusi pendekatan ‘tiga E’ iaitu pendidikan (education), penguatkuasaan (enforcement) dan kejuruteraan (engineering),” katanya. – MalaysiaGazette
















