Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Berang ditegur kerana membuang tin arak merata-rata, remaja lelaki berusia 15 tahun melibas seorang pengawal keselamatan dengan pisau hingga cedera.

Ketua Polis Daerah Cheras, Assisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata dalam kejadian berhampiran sebuah apartmen servis di Cheras, kelmarin, mangsa yang merupakan penyelia pengawal keselamatan berusia 49 tahun cedera di perut sebelah kiri.

“Siasatan awal mendapati mangsa menegur suspek yang berada dalam keadaan mabuk kerana membuang tin arak merata-rata dalam kejadian sekitar jam 9 pagi.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak agresif dengan melibas sebilah pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami luka torehan di bahagian perut sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan menahan remaja berkenaan di lokasi kejadian kira-kira jam 10.45 pagi pada hari sama.

Turut dirampas, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Menurut Mohd Rossdi, suspek tidak bersekolah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian saringan air kencing juga mendapati remaja berkenaan negatif dadah.

Tambahnya, suspek direman sehari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast