ALOR GAJAH – Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah membantu memindahkan seorang lelaki obesiti seberat kira-kira 260 kilogram (kg) di Taman Seri Gamelan, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.42 pagi itu, mangsa lelaki berusia 47 tahun dipercayai mengalami kesukaran untuk bergerak sebelum bantuan kecemasan dihubungi keluarga.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Masjid Tanah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki obesiti dengan anggaran berat 260 kg berada di dalam rumahnya.
“Tindakan operasi dijalankan dengan mengangkat mangsa sebelum dinaikkan ke atas lori bagi tujuan pemindahan,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa bersama ambulans ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Norhayati Rahmat itu tamat sepenuhnya pukul 1.31 tengah hari selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang risiko di lokasi.
Tiada sebarang kecederaan lain dilaporkan sepanjang operasi dijalankan. – MalaysiaGazette
















