ALOR GAJAH – Dua wanita berdepan detik cemas selepas tersesat ketika melalui laluan hutan paya bakau di kawasan Pantai Keramat menuju ke Pantai Cermin, Tanjung Tuan, di sini sebelum diselamatkan pasukan bomba tengah hari tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah bersama bantuan BBP Teluk Kemang, Port Dickson digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, didapati benar dua mangsa wanita berusia 28 tahun tersesat di kawasan itu.
“Menurut maklumat awal, mangsa memulakan perjalanan sekitar jam 9 pagi, namun pada jam 12.13 tengah hari, pihak bomba menerima panggilan berkaitan mangsa sesat di kawasan Pantai Keramat menuju ke Pantai Cermin.
“Kedua-duanya gagal menemui jalan keluar di kawasan paya bakau sebelum menghubungi pihak bomba selepas kira-kira 15 minit tersesat sebelum anggota BBP Teluk Kemang berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat,” katanya.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian membawa semua mangsa keluar ke kawasan selamat sebelum operasi tamat pada jam 1.47 tengah hari.
Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam operasi itu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Norhayati Rahmat bersama lapan anggota. – MalaysiaGazette
















