Muhammad Huzair Zakhal (tiga dari kiri) bersama 10 adiknya serta enam ipar yang datang bersama ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji pada tahun ini.

MAKKAH – “Kami tidak pernah merasa duit raya yang diterima sejak kecil, semuanya emak masukkan ke dalam akaun Tabung Haji. Tetapi selepas berpuluh tahun, akhirnya duit raya itulah yang membawa kami ke Tanah Suci,” kata Muhammad Huzair Zakhal, 39.

Dia merupakan jemaah bertuah kerana berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima bersama-sama sembilan adik-beradiknya dan enam ipar.

Mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah, beliau menyifatkan keberadaan mereka di sini sebagai lambang pengorbanan dan dedikasi emak yang mula menabung sejak mereka kecil.

Kata beliau, emak mereka, Azizah Zawri, 68, menabung sebanyak RM10 setiap seorang sebelum meningkatkan kepada RM20 melalui potongan gaji.

Menurut beliau, emaknya seorang yang sangat berdisiplin dan kuat menabung meskipun sudah berhenti menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Mara dan menjadi guru al-Quran di rumah.

“Selepas adik bongsu kami dilahirkan, emak sudah cukupkan RM1,300 untuk daftar haji pada tahun 2009. Bila dah terkumpul sebanyak itu, emak serahkan kepada kami pula untuk sambung simpan.

“Kami adik-beradik kemudian buat potongan gaji bila mula bekerja, simpan sikit-sikit. Bila dapat panggilan haji untuk tahun 2026, kami terus ‘push’ sampai cukup semuanya,” katanya yang merupakan anak keempat.

Lebih bermakna lagi, tambahnya, panggilan haji yang diterima tahun lalu seolah-olah menunaikan hajat emak mereka untuk melihat anak-anaknya menunaikan haji bersama-sama.

Huzair berkata, kakak sulung sudah menunaikan haji tahun lalu dan adik istimewa mereka tidak turut serta kerana masalah kesihatan.

Menurut Muhammad Huzair, pada awalnya ada antara adik-beradik yang bercadang menangguhkan pemergian kerana simpanan belum mencukupi.

“Tapi emak sanggup bantu penuhkan akaun sebab nak tengok anak-anak pergi haji bersama. Ini memang hajat emak dan ayah kami sejak dulu lagi,” sambung beliau sambil tidak putus menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepadanya.

Menurutnya, amalan menabung yang dibuat oleh emaknya, kini diwarisi mereka kepada anak masing-masing pula.

“Alhamdulillah, sekarang anak-anak kami pula ada akaun Tabung Haji dan sudah daftar haji. Duit raya anak kami pun kami simpan dalam Tabung Haji. Kami harap suatu hari nanti mereka sepupu-sepupu pula dapat pergi haji bersama,” ujar beliau.

Meskipun datang dengan rombongan besar, Muhammad Huzair berkata, emak mereka tetap akan menghubungi anak-anaknya untuk bertanya khabar.

“Dia selalu ingatkan kami supaya jaga niat, tunaikan haji kerana Allah. Semalam pun mak pesan kami mengikhlaskan hati ketika menunaikan ibadah,” katanya.

Mengulas aktiviti mereka di sini, Mohd Huzair berkata, mereka yang akan berada selama 48 hari di Tanah Suci mahu memperbanyakkan ibadah, selain mengukuhkan hubungan kekeluargaan memandangkan mereka jarang dapat bersama serentak kerana komitmen masing-masing.

“Selalunya susah nak kumpul lama-lama macam ini. Di sini kami solat bersama, baca hadis bersama dan saling jaga antara satu sama lain,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast