Noraslina Abdul Manap, 40, dilaporkan hilang dan gagal dikesan selepas keluar membeli barang dapur di sebuah pasaraya di Taman Malim Jaya, Melaka Khamis lalu.

MELAKA – Seorang wanita dilaporkan hilang dan gagal dikesan selepas keluar membeli barang dapur di sebuah pasar raya di Taman Malim Jaya di sini Khamis lalu.

Suaminya, Mohamad Farouk Abdul Salam, 49, berkata, isterinya, Noraslina Abdul Manap, 40, sebelum itu keluar dari rumah mereka di Rumah Pangsa Kampung Padang, Pokok Mangga di sini pukul 4.40 petang 21 Mei lalu.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas menghubungi wanita berkenaan sebaik tiba di rumah dan isterinya memberitahu keluar sekejap untuk membeli barang dapur.

“Namun pukul 6 petang, isteri masih tidak pulang sebelum saya menghubunginya kerana bimbang keselamatan dirinya.

“Bagaimanapun, talian telefonnya seperti telah ditutup dan saya sudah berusaha mencarinya di rumah keluarga dan kawan-kawannya tetapi tidak jumpa sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Malim, Jumaat lalu

Menurutnya, isterinya sebelum ini tidak pernah keluar rumah dalam tempoh lama tanpa memaklumkan kepada keluarga.

“Laporan polis dibuat kerana bimbang terhadap keselamatan isteri dan selain berharap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat keberadaan isteri yang berbadan gempal, rendah dan berkulit sawo matang.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai diminta menghubungi saya di talian 012-2372475, 010-6665354 atau kakak dan adik di nombor 010-6665354, 012-3424148.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan laporan polis dibuat suami wanita berkenaan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast