JOHOR BAHRU – Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diagihkan secara tunai tidak sewajarnya menjadi alat politik yang menyusahkan penerima.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tebrau, Jalex Lee En Xiang berkata, sepatutnya agihan bantuan dibuat mengikut tempat dan bukan berkumpul di satu lokasi tertentu semata-mata demi acara atau simbolik politik.
Exco AMK Pusat itu menegaskan, sebagai contoh ada penerima di Taman Gaya yang diminta hadir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin untuk mengambil BKJ.
“Begitu juga di kawasan DUN Tiram, bantuan diagihkan di Dewan Muafakat Bestari Perdana (Pasir Gudang) tetapi pada masa sama seolah-olah mengetepikan penerima di kawasan Ulu Tiram.
“Keadaan seperti ini menunjukkan masih wujud jurang dalam memahami realiti dan kesukaran rakyat di lapangan. Ini hanya segelintir masalah yang telah dibawa oleh rakyat tentang BKJ,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kebersamaan yang dilaungkan sebelum ini sepatutnya bukan sekadar slogan politik.
Jelasnya, kebersamaan yang sebenar ialah apabila setiap suara didengari, setiap kawasan diberi perhatian dan setiap rakyat dipermudahkan urusannya tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Selain itu katanya, menggunakan alasan pemberian BKJ secara tunai sebagai lambang kebersamaan juga kurang tepat.
“Sebagai wakil rakyat, turun padang dan bersama-sama rakyat adalah tanggungjawab asas yang perlu dilaksanakan setiap masa, bukan hanya ketika ada bantuan untuk diagihkan.
“Jika kebersamaan hanya muncul ketika BKJ diberikan, ini memberi gambaran yang membimbangkan terhadap budaya politik hari ini. Adakah tanpa BKJ, wakil rakyat tidak perlu mendengar denyut nadi rakyat,” soalnya.
Tegasnya, rakyat hari ini mahukan politik yang matang, jelas dan berpaksikan solusi.
Tambahnya, tugas ahli politik bukan sekadar menyampaikan slogan, tetapi membawa dasar yang membantu rakyat serta mencari jalan penyelesaian terbaik selepas mendengar dan meneliti suara rakyat secara menyeluruh.
Selain itu, beliau juga menyentuh berkenaan kaunter bergerak yang diadakan pihaknya di pasar malam Austin Crest di sini dan hampir 90 peratus maklum balas yang diterima adalah berkaitan BJ.
Beliau mendakwa, ramai rakyat meluahkan rasa kecewa dan keliru terhadap pelaksanaan bantuan tersebut.
“Ada yang benar-benar memerlukan tetapi tercicir dan ada juga yang masih tidak faham tentang keseluruhan proses kelayakan untuk menerima BKJ. Ini perkara yang perlu diberi perhatian serius.
“Kami turun padang bukan sekadar untuk mendengar, tetapi untuk membawa suara rakyat supaya penambahbaikan dapat dilakukan.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat menambah baik pelaksanaan BKJ yang dilihat menyusahkan rakyat, khususnya dari segi lokasi pengambilan bantuan, penjelasan kelayakan serta proses rayuan agar lebih jelas dan mesra rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette
















