Pasukan bomba sedang membawa keluar mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang terlibat kemalangan jalanraya di Ayer Tawar. Foto JBPM Perak

BERUAS – Seorang perempuan maut selepas kereta yang dinaiki bersama seorang lelaki terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Petronas Changkat Cermin, Ayer Tawar di sini pada awal pagi hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pukul 1.15 pagi.

Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dan BBP Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta sebuah kereta jenis Honda CRV dan sebuah Perodua Kancil. Didapati terdapat dua mangsa tersepit dalam Perodua Kancil, dengan seorang perempuan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sementara seorang lagi lelaki yang tersepit dalam kenderaan sama yang juga berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah.

Sabarodzi memaklumkan, pada masa sama, pemandu kenderaan Honda CRV terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas cutter and spreader bagi membuat renggangan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

“Mangsa lelaki yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut. Mayat mangsa perempuan pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Raja Mohamad Hisyamudin Shah itu melibatkan 17 anggota bomba dan ia ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.18 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast