KUALA LUMPUR – Seramai 21 Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Shah Alam bersama pimpinan sayap Wanitanya mengumumkan peletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan bersama, katanya, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam serta kekecewaan yang semakin memuncak terhadap hala tuju dan kepimpinan parti.
Menurutnya, ia khususnya kegagalan berulang kali dalam menunaikan janji-janji reformasi yang selama ini menjadi asas perjuangan dan keyakinan ramai anggota parti.
“Kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, khususnya terhadap Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim), susulan janji-janji reformasi yang dilihat tidak lagi diterjemahkan dalam amalan sebenar, serta kegagalan mempertahankan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi dalaman yang pernah menjadi tunjang perjuangan PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Di peringkat cabang pula, mereka turut kecewa dengan kepimpinan Ketua Cabang, Mohd Najwan Halimi yang didakwa gagal mengamalkan prinsip konsultasi dan kebersamaan dalam membuat keputusan.
Menurutnya, AJK-AJK Cabang yang dipilih secara demokrasi melalui pemilihan parti baru-baru ini tidak dirunding mahupun dilibatkan dalam pelbagai keputusan penting termasuk pelantikan politik dan urusan organisasi cabang.
Lebih mendukacitakan, ujarnya, keputusan-keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang perbincangan rasmi bersama AJK yang dipilih, walaupun proses konsultasi dan penghormatan terhadap mandat pimpinan yang dipilih telah diperuntukkan secara jelas dalam perlembagaan parti.
“Kami percaya sesebuah parti politik mesti mengamalkan nilai reformasi dan demokrasi yang dilaungkan kepada rakyat.
“Malangnya, kami tidak lagi melihat prinsip-prinsip tersebut diamalkan secara konsisten dalam PKR pada hari ini.
“Walau apa pun, kami tetap komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik, kebertanggungjawaban, keadilan serta perjuangan demi rakyat dan negara.
“Perjuangan kami tidak terhenti di sini dan kami akan terus menyumbang ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik dalam apa jua kapasiti,” katanya. – MalaysiaGazette
















