Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu golongan penjaja di sekitar Pasar Tani Taman Melawati sewaktu Program BSN Jelajah Mikro Penjaja pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) terus memperkukuh sokongannya terhadap perusahaan mikro menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME Stabilisation Relief Facility – MSME SRF) bagi membantu usahawan menangani cabaran ekonomi semasa.

Kemudahan itu menyediakan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000 dengan kadar keuntungan serendah 3.75 peratus setahun serta tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu usahawan mikro mendapatkan suntikan modal kerja untuk menstabilkan operasi perniagaan mereka.

Menurut beliau, golongan usahawan mikro kini berdepan kekangan aliran tunai susulan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global.

“BSN maklum bahawa usahawan mikro kini berdepan dengan kekangan aliran tunai susulan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Justeru, kemudahan MSME SRF ini diharap dapat memberi kelegaan kepada usahawan mikro menerusi akses perkhidmatan kewangan yang sesuai bagi membantu menstabilkan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, BSN turut turun padang mendekati peniaga di Pasar Tani Taman Melawati pada 23 Mei lalu bagi memahami keperluan sebenar mereka selain berkongsi maklumat mengenai kemudahan pembiayaan yang bersesuaian.

Katanya, pendekatan itu membolehkan BSN mengenal pasti cabaran dihadapi peniaga mikro termasuk aspek pengurusan aliran tunai dan kelangsungan operasi perniagaan.

Selain MSME SRF, BSN turut menawarkan pelbagai produk pembiayaan lain pada kadar keuntungan kompetitif antaranya BSN Micro-i MADANI bagi kategori penjaja, belia, wanita dan pekerja gig.

Turut ditawarkan ialah pembiayaan MADANI Sinar yang memberi tumpuan kepada bantuan mikro khusus untuk orang kurang upaya (OKU) dan golongan lain mengembangkan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast