Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang akan menyusun semula kekuatan parti dan memperkukuhkan perpaduan dalaman bagi mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan parti itu kembali relevan di negeri ini.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, cabaran politik era baharu menuntut seluruh ahli parti untuk terus aktif dalam gerak kerja dan kekal berpegang teguh kepada perjuangan politik bukan perkauman yang menjadi asas penubuhan Gerakan sejak 58 tahun lalu.

Menurutnya, Gerakan yang pernah mendapat sokongan besar daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pekerja, profesional, cendekiawan dan pejuang pendidikan Cina, kini perlu bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa kemerosotan politik.

“Sepanjang 58 tahun, Gerakan telah melalui pelbagai fasa perjuangan dan pernah mendapat sokongan besar daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pekerja, profesional, cendekiawan serta pejuang pendidikan Cina.

“Parti ini juga pernah memainkan peranan penting dalam menyuarakan isu rakyat di semua peringkat Dewan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun ke-58 Parti Gerakan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, arus reformasi politik yang kuat turut memberi kesan besar kepada Gerakan sehingga parti itu kehilangan wakil di pelbagai peringkat Dewan walaupun konsisten memperjuangkan pendekatan politik bukan perkauman.

“Walaupun begitu, kita tidak pernah menyimpang daripada prinsip asal perjuangan parti. Kita terus berpegang kepada perlembagaan dan semangat penubuhan parti.

“Kita juga terus memainkan peranan semak dan imbang di luar Dewan demi memperjuangkan keadilan, kesaksamaan dan masyarakat majmuk yang harmoni,” katanya.

Tong Keong berkata, beliau sendiri menyaksikan sumbangan besar Gerakan sepanjang 39 tahun mentadbir Pulau Pinang selain melalui tempoh sukar ketika parti berada di fasa paling mencabar.

“Namun, saya tidak pernah berundur dan tetap bersama rakan-rakan seperjuangan yang setia kepada parti untuk mempertahankan Gerakan Pulau Pinang serta memastikan panji perjuangan parti kembali berkibar megah di negeri ini.

“Justeru saya menyeru semua ahli Gerakan di Pulau Pinang dan seluruh negara supaya kembali menyusun kekuatan parti serta melangkah dengan lebih yakin demi masa depan yang lebih baik.

“Selagi seluruh ahli bersatu hati dan terus mempertahankan perjuangan politik bukan perkauman, Gerakan mampu kembali mendapat kepercayaan rakyat serta mencipta kegemilangan baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast