Pokok tumbang menghempap beberapa buah kenderaan dalam kejadian pokok tumbang yang dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara petang tadi. Gambar: Ihsan JBPM.

KUALA LUMPUR – Tiga kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara petang tadi membabitkan kawasan di Lebuhraya MEX, Kampung Malaysia Tambahan dan Sungai Besi sehingga mengakibatkan empat kenderaan rosak.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan menerusi talian NG999 berhubung insiden berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi terlibat.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE (E37) apabila sebatang pokok tumbang dan menghalang laluan jalan.

“Bagaimanapun, tiada kenderaan atau mangsa terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kedua di Pangsapuri Seri Malaysia, Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan, sebatang pokok dilaporkan tumbang lalu menghempap sebuah kereta jenis Proton Persona yang diparkir di bahu jalan.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.

Sementara itu, di Lot PT 13856, Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, sebatang pokok besar tumbang sehingga dahan pokok menghempap bumbung parkir kenderaan melibatkan empat buah kereta.

Antara kenderaan yang terlibat ialah Perodua Alza, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja.

Menurut kenyataan sama, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dimaklumkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba.

“Kesemua laluan jalan yang terhalang telah dibuka sepenuhnya untuk kenderaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast