KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan ajaran Ahmadiyah atau Qadiani merupakan fahaman sesat yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta telah difatwakan terkeluar daripada Islam sejak tahun 2004.
JAWI dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian terhadap video tular di media sosial berkaitan kegiatan ajaran berkenaan di Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, umat Islam perlu sentiasa memelihara kesucian akidah diri dan keluarga daripada ancaman fahaman sesat seperti Ahmadiyah atau Qadiani yang diasaskan Mirza Ghulam Ahmad.
“Walaupun dibawa dengan penjenamaan baharu, hakikatnya mereka tetap sesat kerana mendakwa masih wujud nabi selepas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” menurut kenyataan itu hari ini.
JAWI turut mengingatkan masyarakat supaya menjauhi sebarang bentuk fahaman ekstrem yang boleh menggugat kesucian akidah selain memperkukuhkan institusi keluarga dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sahih.
Katanya, umat Islam juga disaran melengkapkan diri dengan ilmu agama yang benar serta sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti, alim ulama dan institusi agama yang diiktiraf.
“JAWI sentiasa prihatin terhadap isu semasa umat Islam dan terus komited dalam agenda memperkasakan akidah umat Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















