RIYADH — Menteri-menteri luar Arab Saudi dan tujuh lagi negara Islam mengecam sekeras-kerasnya tindakan mengerikan, menghina dan tidak boleh diterima oleh Menteri ekstremis Israel, Itamar Ben-Gvir terhadap aktivis flotila menuju ke Gaza ketika mereka berada dalam tahanan Israel.
Menteri-menteri luar terbabit termasuk dari Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Indonesia, Pakistan, Mesir dan Türkiye.
Mereka menegaskan bahawa penghinaan awam secara sengaja terhadap tahanan oleh Ben-Gvir merupakan satu serangan memalukan terhadap maruah manusia serta pelanggaran jelas terhadap tanggungjawab Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Menteri-menteri itu turut melahirkan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram serta ekstrem berbentuk hasutan dan keganasan oleh Ben-Gvir dan beberapa pegawai Israel lain terhadap rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Mereka memberi amaran bahawa tindakan provokatif Ben-Gvir menyemarakkan kebencian dan ekstremisme, selain menghalang usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan berasaskan penyelesaian dua negara.
Menteri-menteri luar berkenaan menuntut pertanggungjawaban terhadap tindakan Ben-Gvir dan menggesa langkah konkrit diambil bagi menghentikan provokasi berulang, hasutan dan pelanggaran yang dilakukannya, selain menghalangnya daripada terus mencetuskan ancaman serta memastikan tindakan sedemikian tidak diterima atau berulang lagi.
Mereka turut menegaskan keperluan melindungi hak asasi manusia serta menjaga maruah dan layanan berperikemanusiaan terhadap semua tahanan, selain memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Ben-Gvir mencetuskan kemarahan global awal minggu ini selepas menyebarkan video dirinya mengejek aktivis flotila menuju ke Gaza yang ditahan oleh pasukan polis Israel.
















