Upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama milik TLDM yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Instanbul, Turkiye, semalam. – FOTO MINDEF

KUALA LUMPUR – Pembinaan tiga buah kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) bukan sahaja menjadi detik bersejarah dalam kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye tetapi juga mengukuhkan iltizam negara untuk memperkasa industri pertahanan tempatan.

Ini kerana, selain memperkasakan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pembinaan LMSB2 juga membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Malaysia dan Turkiye, terutama dalam aspek pemindahan teknologi di antara kedua-dua negara.

Ia juga memperlihatkan kebolehan Malaysia melangkah setapak lagi dalam membina keupayaan pertahanan moden dan berdaya saing bagi menghadapi persekitaran  keselamatan maritim yang semakin kompleks dan mencabar.

Kapal berkenaan diberi nama Tunku Laksamana Abdul Jalil”, sebagai penghormatan tertinggi kepada putera keempat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil. -FOTO MINDEF

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan LMSB2 turut memberi ruang kepada Malaysia untuk melihat potensi besar dalam memperkukuhkan lagi kerjasama pertahanan dengan Turkiye terutamanya dalam pertukaran pengetahuan serta pemindahan teknologi.

Sehubungan itu beliau berharap kerjasama Malaysia-Turkiye akan terus berkembang melangkaui projek LMSB2 kepada inisiatif-inisiatif lain yang berpotensi serta bidang kerjasama pertahanan yang lebih luas.

“Perjalanan luar biasa Türkiye ke arah keupayaan pertahanan berdikari merupakan contoh yang amat bermakna tentang apa yang boleh dicapai melalui visi strategik, komitmen nasional dan keazaman industri.

Justeru, Malaysia memandang kerjasama ini dengan penuh optimisme dan tekad yang jelas untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan kami sendiri,” katanya semasa berucap semasa upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 pertama milik TLDM di Instanbul, Turkiye, hari ini.

Upacara disempurnakan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan semasa upacara penamaan dan pelancaran LMSB2 di Istanbul, Turkiye, semalam.
FOTO MINDEF

Kapal berkenaan dinamakan “Tunku Laksamana Abdul Jalil”, sebagai penghormatan tertinggi kepada putera keempat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil yang merupakan anggota keluarga diraja Johor pertama dalam sejarah moden memegang gelaran “Laksamana”.

Menurut Mohamed Khaled, nama itu diangkat bagi mengabadikan keberanian, ketabahan dan semangat juang Almarhum termasuk melalui slogan “Fight Like Jalil” serta legasi kebajikan baginda menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Kapal Kelas Tunku yang berasaskan reka bentuk korvet ADA Class oleh STM itu  merupakan aset tempur terkini TLDM yang direka  untuk operasi pelbagai dimensi.

Kapal Kelas Tunku yang berasaskan reka bentuk korvet ADA Class oleh STM itu merupakan aset tempur terkini TLDM yang direka untuk operasi pelbagai dimensi. FOTO MINDEF

Kejayaan pelancaran itu turut menyaksikan  kemajuan kejuruteraan yang signifikan apabila kapal tersebut akan memulakan fasa  Setting to Work (STW) dan integrasi sistem peperangan dan penderia di kapal.

Ia turut mencerminkan komitmen jitu Pasukan Projek LMSB2 di bawah  kepimpinan Kepten Ts. Mohammed Noorsyarizal Mohammed Noordin TLDM  dalam memastikan projek tersebut dilaksanakan berdasarkan piawaian dan garis masa  yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu menurut Mohamed Khaled, kapal yang  dibina berasaskan reka bentuk ADA-class Türkiye menerusi Program MILGEM akan memperkasa keupayaan pertahanan maritim Malaysia dengan ketara serta menyokong Pelan Transformasi 15-ke-5 Tentera Laut Diraja Malaysia.

”Saya gembira melihat projek ini berjalan mengikut jadual. Dan saya yakin dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh Pasukan Projek Tentera Laut Diraja Malaysia, STM dan Istanbul Shipyard, ketiga-tiga kapal ini akan berjaya diserahkan menjelang akhir tahun 2027.

”Ini merupakan satu kejayaan yang wajar diraikan – untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, untuk persahabatan berkekalan antara Malaysia dan Türkiye, serta untuk keamanan sejagat,” ujar beliau lagi.

Dalam lawatan kerja empat hari ke Turkiye, Datuk Seri Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri dari negara itu antaranya HAVELSAN.
FOTO MINDEF

Mohamed Khaled juga menzahirkan rasa penghargaan terhadap Turkiye yang bukan sahaja cemerlang dari aspek kejuruteraan tetapi membuktikan republik itu sebagai sebuah rakan yang dipercayai dalam menunaikan komitmen dan perjanjian yang telah dipersetujui.

Mohamed Khaled yang mengakhiri lawatan kerja empat hari beliau ke Turkiye bermula Khamis 21 Mei lalu hingga 24 Mei 2026, sempat bertemu dengan pemain-pemain industri pertahanan ternama dari Turkiye seperti Otokar dan HAVELSAN serta delegasi syarikat perkapalan, Desan Shipyard. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast