KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas ekspres dikesan melakukan kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu menerusi Ops Penyamaran Penumpang Bas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026.
Operasi berkenaan dilaksanakan melibatkan laluan dari Larkin Sentral, Johor Bahru ke Melaka Sentral, Melaka dengan anggota penguat kuasa bertindak menyamar sebagai penumpang bas.
Menurut JPJ Negeri Johor, hasil pemantauan sepanjang operasi itu mendapati pemandu terbabit menggunakan telefon bimbit ketika sedang memandu sekali gus melakukan pelanggaran serius terhadap peraturan jalan raya.
Katanya, tindakan tersebut boleh mengganggu tahap tumpuan pemanduan selain meningkatkan risiko kemalangan yang membabitkan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa terhadap pemandu terbabit,” menurut kenyataan itu hari ini.
JPJ Negeri Johor berkata, pihaknya akan terus mempergiat pelaksanaan operasi penyamaran dan pemantauan terhadap kenderaan perkhidmatan awam sepanjang Ops HRAA 2026.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan semua pemandu mematuhi undang-undang jalan raya serta mengutamakan aspek keselamatan pengguna. – MalaysiaGazette
















