KUALA LUMPUR – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa semakin parah apabila lebih 200,000 ahlinya dikatakan sudah keluar atau bersedia meninggalkan parti tersebut untuk menyertai gerakan ‘Reset’ yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dakwaan itu dibuat bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang menyifatkan penghijrahan besar-besaran ahli berlaku akibat budaya dalaman parti yang semakin ditolak akar umbi.
Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka bagaimanapun menegaskan Hamzah tidak sepatutnya dipersalahkan sebagai punca perpecahan dalam Bersatu, sebaliknya mendakwa kepimpinan parti sendiri menjadi faktor ahli hilang keyakinan.
“Apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad, memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula, bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan serta memandang ringan isu rasuah, maka secara semula jadi ahli akan mula membenci budaya seperti ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika spekulasi mengenai gerakan ‘Team Reset’ pimpinan Hamzah semakin hangat diperkatakan selepas beberapa laporan mendakwa akar umbi Bersatu di beberapa negeri mula cenderung menyokong kem berkenaan.
Menurut Abdul Rahim, budaya memuja pemimpin secara melampau serta menganggap teguran sebagai pengkhianatan turut menyebabkan perjuangan asal Bersatu semakin tersasar.
“Perjuangan parti untuk rakyat juga dilihat semakin terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.
“Saya berkata demikian kerana selepas hampir 50 tahun berada dalam dunia politik, saya sendiri merasakan Bersatu tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Hamzah bukan dalang yang memecah-belahkan parti, sebaliknya kelemahan pengurusan dan budaya dalaman Bersatu sendiri menjadi punca ahli bertindak meninggalkan parti secara beramai-ramai.
“Jadi bukan Datuk Seri Hamzah yang menghasut untuk memecahkan Bersatu. Apa yang berlaku dalam parti sendiri serta cara ia diuruskan itulah yang menyebabkan penghijrahan besar-besaran ahli daripada Bersatu,” katanya.
Perkara itu ditambah lagi dengan perkembangan terbaharu apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa gabungan Perikatan Nasional (PN) sedang mempertimbangkan kerjasama dengan parti baharu yang dijangka ditubuhkan Hamzah.
Jelas Abdul Hadi, perkara itu sedang diperhalusi peringkat gabungan berkenaan dan tidak akan menjejaskan kedudukan PN. – MalaysiaGazette
















