MELAKA – Setiap pembangunan kemudahan awam termasuk taman permainan di negeri ini telah melalui kajian impak dan penilaian keselamatan sebelum dibina.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, terdapat pelbagai pilihan pusat rekreasi awam di negeri ini termasuk yang dikhususkan untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

“Namun, walaupun anak-anak melepasi umur ditetapkan, jika penjaga merasakan tidak sesuai, jangan ambil risiko kerana jika berlaku kecederaan, ia akan memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak.
“Dari sudut pihak berkuasa tempatan (PBT), kita sudah letakkan syarat dan pemantauan. Di sini peranan ibu bapa paling penting untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban Sempena Aidiladha 1447H Peringkat Parlimen Tangga Batu di Japerun Paya Rumput, Cheng, di sini hari ini.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan orang ramai mengenai sebuah taman permainan awam di Melaka Sentral yang disifatkan terlalu ekstrem untuk kanak-kanak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagaimanapun akan terus memantau aspek keselamatan taman permainan berkenaan susulan kebimbangan itu.
“Selain taman permainan berkenaan, MBMB turut menyediakan pelbagai lokasi rekreasi lain yang lebih sesuai untuk kanak-kanak kecil termasuk di Taman One Krubong yang kini semakin digemari pengunjung.
“Sebagai PBT, kita tidak akan melepaskan tanggungjawab dan akan mengatasi masalah ini secara bersama dengan masyarakat untuk mengelakkan kejadian tidak diingi,” katanya. – MalaysiaGazette
















