Foto: Metta Tham Rescue Kalasin

PHNOM PENH – Pasukan penyelamat masih berusaha menyelamatkan tujuh penduduk kampung dari sebuah perkampungan terpencil di daerah Phonxay, wilayah Xaysomboun, tengah Laos yang terperangkap dalam sebuah gua ditenggelami air sejak hampir enam hari lepas.

Vientiane Times melaporkan mangsa yang dipercayai melombong emas secara haram terperangkap di dalam gua itu pada 20 Mei selepas paras air mula meningkat.

“Operasi menyelamat amat mencabar berikutan paras air di dalam gua terus meningkat akibat hujan yang berterusan.

“Pasukan penyelamat Laos dan Thailand bekerja tanpa henti untuk sampai kepada penduduk kampung yang terperangkap.

Bagaimanapun, banjir, bentuk muka bumi yang mencabar dan cuaca buruk memperlahankan operasi serta memaksa anggota penyelamat bertindak dengan berhati-hati,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Wilayah Xaysomboun, Phetsamai Phoxayavong pada Isnin, menurut Vientiane Times.

Beliau juga merupakan Ketua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah.

Pakar berkata gua itu dipercayai sedalam lebih 100 meter, manakala pintu masuknya yang curam menjadi antara cabaran utama kepada anggota penyelamat.

monsun yang sedang melanda negara itu membawa hujan lebat dan menjejaskan usaha menyelamat susulan paras air yang masih tinggi, manakala keadaan jalan yang sukar turut merumitkan operasi.

Phetsamai berkata setakat 8 malam Isnin, persiapan sedang dijalankan bagi satu lagi percubaan menyelamat meskipun berdepan pelbagai cabaran. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast