KUALA LUMPUR – Lapan lelaki termasuk enam warga asing berusia antara 24 hingga 41 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki dua jenis dadah di sebuah hotel mewah di sini awal pagi Ahad lalu.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama memiliki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram di sebuah bilik hotel di sini pada jam 4 pagi, 24 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 0.7 gram di lokasi dan waktu sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshvinder Singh yang mewakili dua tertuduh warga tempatan memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai jurujual dan pekerja kedai kecantikan.
Sementara itu, peguam Yong Jei Bing yang mewakili enam warga asing memaklumkan anak guamnya datang ke Malaysia sebagai pelancong selain tidak mempunyai latar belakang keluarga berada.
Mahkamah kemudian membenarkan dua warga tempatan diikat jamin RM6,000 setiap seorang manakala enam lagi tertuduh warga asing tidak dibenarkan diikat jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Ogos ini bagi serahan dokumen. -MalaysiaGazette
















