PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara masih mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Julai depan meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik.

Menurut beliau, hubungan baik Malaysia dengan Iran membantu melancarkan laluan perdagangan di Selat Hormuz sekali gus memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil ketika beberapa negara lain mula berdepan gangguan bekalan.

“Ketika Iran kena serang oleh rejim Zionis Israel dengan kerjasama Amerika habis kota dia ranap sepertimana berlaku di Gaza, jadi kita lahirkan simpatilah.

“Kemudian bila kita agak susah, kapal kita antara yang pertama dapat lepas Selat Hormuz sampai Pengerang, Johor dan hubungan baik yang terjalin itu buatkan Malaysia mempunyai bekalan minyak, diesel cukup sampai Julai, insya-Allah.

“Kita doa supaya semua selamat kerana apabila saya di Cebu, Filipina bagi mesyuarat ASEAN kita lihat ramai beratur di stesen minyak kerana 400 stesen minyak sudah tutup, Alhamdulillah kita belum sampai ke situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu Korban bagi Parlimen Permatang Pauh serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 260 ekor lembu disumbangkan kepada seluruh masjid dan surau di Parlimen Permatang Pauh bagi menjayakan ibadah korban esok.

Tambah Anwar, situasi semasa di Asia Barat menyebabkan kos penghantaran dan insurans meningkat sekali gus memberi kesan kepada harga barangan kerana Malaysia masih bergantung kepada import minyak dari luar negara.

“Masalah hari itu minyak ada diesel tak ada sebabkan harga barang naik sedikit kerana kita beli dari luar, dia lalu Selat Hormuz, insurans naik, tambang kapal pun naik.

“Tapi setakat yang kita mampu, minyak RON95 kekal RM1.99. Bagitahu saya negara mana yang lebih murah daripada Malaysia? Tak ada… Brunei sahaja.

“Malah, walaupun harga diesel naik kerajaan meneruskan bantuan subsidi diesel menerusi inisiatif Budi Madani bagi membantu golongan petani, nelayan, pengusaha bas sekolah dan sektor pengangkutan lain,” katanya,

Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat supaya terus bersyukur dan menghayati semangat pengorbanan serta kebersamaan ketika negara berdepan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast