Perdana Menteri, Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan bahawa sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar simbolik ibadah korban, sebaliknya membawa mesej besar mengenai keikhlasan, ketakwaan dan pengorbanan dalam menghadapi ujian kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebesaran Aidiladha perlu dihayati menerusi teladan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang tetap taat kepada perintah Allah SWT meskipun berdepan ujian berat.

“Kebesaran dan kemuliaan Hari Raya Aidiladha pasti merujuk kepada teladan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S atas ujian yang dihadapi, serta memperlihatkan hikmah dan rahsia Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa.

“Sementalahan, di sebalik ikhtiar dan usaha yang dilakukan kita dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, pasti ada pengorbanan yang harus menjadi prasyarat,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, setiap pengorbanan yang dilakukan hari ini sama ada dalam pengurusan ekonomi negara, bidang pendidikan mahupun urusan keagamaan akan memberi kesan besar terhadap masa depan negara dan rakyat.

“Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam menghayati makna pengorbanan sebenar sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam Surah Al-Saffat ayat 99 hingga 102 berkaitan kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Menurut beliau, tanpa pengorbanan, kehidupan manusia akan menjadi kosong daripada nilai dan hikmah, malah keikhlasan seseorang dapat diukur menerusi kesanggupan mengorbankan perkara yang paling disayangi.

“Maknanya, tanpa pengorbanan hidup menjadi tidak bermakna dan gersang nilai. Sesuatu yang dikorbankan adalah sesuatu yang memang menjadi kemahuan manusia—harta, keluarga dan kedudukan.

“Oleh dengan itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai hikmah ibadah haji yang menurutnya menjadi medan mendidik jiwa manusia supaya lebih sederhana, zuhud dan merendah diri di hadapan Allah SWT.

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan.

“Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira tingkat diri di dalam masyarakat, darjat atau pangkat, lantas membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast