Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi penjelasan segera berhubung isu dasar pemilikan hartanah Bumiputera 50 peratus bagi mengelak kekeliruan, gangguan pasaran dan kerugian jangka panjang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia termasuk sama ada syarat pemilikan 50 peratus itu merupakan dasar tetap Putrajaya atau pelaksanaannya dibuat secara terpilih (case by case), skop penuh transaksi terlibat atau ia hanya terpakai kepada pelupusan aset milik GLC dan GLIC.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menerangkan mengenai mekanisme pelaksanaan, pengecualian dan penilaian yang diguna pakai dan sama ada kajian penilaian impak menyeluruh telah dibuat ke atas keyakinan pelabur, kecairan pasaran dan nilaian aset milik negara.

“Pas akur bahawa usaha untuk memperkukuh penyertaan dan pemilikan Bumiputera dalam ekonomi adalah selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta cita-cita dan matlamat pembangunan seimbang.

“Namun begitu, dasar melibatkan aset bernilai tinggi dengan kesan langsung ke atas pasaran modal, institusi kewangan dan dana awam tidak seharusnya ditangani secara tidak jelas atau terdedah kepada tafsiran yang saling bercanggah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Takiyuddin, Pas percaya usaha pengukuhan pemilikan Bumiputera hendaklah dibuat melalui dasar-dasar yang kredibel, stabil dan kompetitif, bukan dasar kabur dan terburu-buru yang berpotensi melemahkan keyakinan pasaran, selain mengurangkan nilai aset-aset strategik terbabit.

Katanya, kerajaan juga perlu menyedari bahawa banyak daripada aset GLC dan GLIC berkait langsung dengan kepentingan rakyat melalui institusi-institusi seperti KWSP, Permodalan Nasional Bhd, LTAT, Tabung Haji dan sebagainya.

Sehubungan itu, menurutnya, apa-apa dasar yang mengehad pasaran atau memberi kesan ke atas nilaian aset akan mempengaruhi pulangan pelaburan/simpanan dan kepentingan rakyat sendiri.

Kata beliau, negara memerlukan dasar-dasar yang bukan sahaja melindungi dan memajukan kepentingan Bumiputera, tetapi juga mengembangkan kekayaan negara, memperkukuh keyakinan pelabur, merancakkan ekonomi, selain dilaksanakan secara telus, konsisten dan profesional.

“Putrajaya perlu menjelaskan perkara-perkara seperti garis panduan, pengecualian spesifik mengikut sektor, fasa-fasa pelaksanaan, penilaian impak pasaran dan konsultasi industri dengan sebaiknya agar ia tidak terus menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan pelabur, sektor perniagaan dan juga orang awam.

“Ini kerana setakat ini jurang antara matlamat serta objektif kerajaan dengan kejelasan dasar yang dilaksanakan masih luas dan sangat perlu dijambatani dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast