Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menegaskan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam apa jua keputusan yang bakal diambil parti itu demi memastikan perjuangan terus kekal kukuh, stabil dan diyakini rakyat.

Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson berkata, pihaknya percaya setiap langkah serta keputusan yang dibuat kepimpinan Pas adalah berlandaskan pertimbangan terbaik demi menjaga kestabilan politik, perpaduan masyarakat dan masa depan negara.

Menurutnya, DHPP akan terus bergerak seiring dengan semangat setiakawan, saling menghormati serta politik matang yang menjadi asas perjuangan bersama dalam Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam menghadapi cabaran politik semasa yang semakin dinamik, kekuatan sesebuah perjuangan bukan hanya terletak pada perbezaan pandangan.

”Sebaliknya juga pada keupayaan untuk terus bersatu, matang dan bergerak seiring demi kepentingan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, DHPP juga akan terus memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan dengan membawa mesej keharmonian, kestabilan dan kebersamaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kenyataan itu dilihat sebagai tanda solidariti terbuka DHPP terhadap kepimpinan Pas ketika spekulasi mengenai hubungan dalam PN terus menjadi perhatian kebelakangan ini.

Pada masa sama, Kumaresan menegaskan DHPP kekal komited mempertahankan perjuangan yang telah dibina bersama sejak sekian lama serta yakin Pas mampu terus menjadi wadah politik yang diyakini pelbagai lapisan masyarakat.

“DHPP akan terus berdiri bersama kepimpinan parti demi memastikan perjuangan ini terus bergerak ke hadapan dengan matang dan penuh tanggungjawab,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast