KUALA LUMPUR – Menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang bertembung dengan cuti persekolahan serta cuti hujung minggu yang panjang, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menggesa semua pemandu supaya mengutamakan keselamatan dan merancang perjalanan dengan bijak.
WCE dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan ketara aliran trafik susulan pergerakan pulang ke kampung dan percutian, dengan anggaran lebih daripada 150,000 kenderaan sehari pada hari-hari puncak sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta keselesaan pengguna, WCE akan melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan.
“Ini termasuklah penangguhan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka.
“Selain itu, jentera bantuan seperti trak tunda akan ditempatkan di lokasi strategik sepanjang jajaran lebuh raya.
“Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) serta petugas peronda juga turut diperkukuh bagi memastikan bantuan dapat diberikan secara pantas dan berterusan 24 jam sehari,” katanya.
Menurutnya, langkah proaktif itu diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama.
Ujarnya, dalam usaha meningkatkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, pengguna disarankan memanfaatkan versi terkini aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan navigasi laluan, maklumat lokasi kemudahan (stesen EV, tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan), bantuan kecerdasan buatan (AI) serta maklumat trafik masa nyata.
“Perancangan perjalanan digital kini turut dipermudah dengan sokongan menyeluruh sistem PayDirect Touch n’ Go di semua plaza tol WCE, yang membolehkan caj ditolak terus daripada baki e-dompet (e-wallet) tanpa perlu menambah nilai kad secara manual,” katanya.
Di samping kemudahan digital, tambahnya, Lebuhraya WCE turut menyediakan infrastruktur fizikal yang selesa untuk para pengguna termasuk enam Hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kawasan parkir, surau dan tandas.
Katanya, kemudahan gerai makanan turut disediakan di beberapa lokasi terpilih iaitu di R&R Sungai Nyior (arah utara dan selatan) serta R&R Bukit Kapar (arah utara).
“Selain itu, Hentian Sebelah dengan kemudahan asas turut disediakan di setiap plaza tol,” katanya. – MalaysiaGazette















