ALOR GAJAH – Seorang pengawal keselamatan sekolah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Londang, Masjid Tanah di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.35 malam itu, mangsa, Mohd Azhar Mohd Noor, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin, Masjid Tanah dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.

“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dari arah Pekan Masjid Tanah ke Londang dipercayai hilang kawalan selepas melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan.
“Turut ditemukan bangkai seekor anjing di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan jalan adalah satu lorong dua hala, permukaan jalan kering, cuaca baik serta kawasan kejadian gelap namun mempunyai lampu jalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 bagi membantu siasatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















