Kerajaan Johor akan menambah baik proses penyampaian Beberapa warga emas menerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diagihkan ketika ini

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan menambah baik proses penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Warga Emas yang sedang diagihkan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata, ini susulan aduan apabila penerima terpaksa beratur panjang dan menunggu lama di beberapa lokasi.

Khairin-Nisa berkata, pihaknya mengambil maklum teguran serta kebimbangan orang ramai dan mengakui wujud kekurangan daripada segi pengurusan serta penyelarasan di sesetengah tempat.

“Isu seumpama ini tidak sepatutnya berlaku sehingga menyusahkan golongan warga emas yang hadir untuk menerima bantuan tersebut.

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio kebajikan negeri, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada para penerima dan ahli keluarga yang terkesan.

“Bagi memastikan perkara ini tidak berulang, beberapa langkah penambahbaikan segera telah dirangka dan dilaksanakan serta-merta agar proses agihan selepas ini berjalan lebih tersusun, lancar dan mesra penerima,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Khairin-Nisa, satu butang khas iaitu Saya adalah penerima uzur/OKU kini telah diaktifkan dalam sistem BKJ Johor melalui laman web rasmi rasminya.

Katanya, ini membolehkan penerima yang uzur, sakit terlantar, berkerusi roda, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita dalam pantang atau waris terdekat yang sedang dalam tempoh iddah membuat semakan serta pengesahan secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal.

Tambahnya, kehadiran ke majlis penyerahan bantuan bagi warga emas dan OKU yang benar-benar tidak berdaya adalah tidak diwajibkan.

“Penyerahan bantuan pasca ini akan diuruskan melalui kaedah yang lebih sesuai, termasuk secara khas atau diserahkan terus ke rumah penerima mengikut keadaan kes.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran dengan membenarkan wakil yang sah untuk mengambil bantuan bagi pihak penerima,” katanya lagi.

Bagi tujuan tersebut, katanya, wakil hanya perlu membawa dokumen sokongan yang diperlukan seperti surat wakil, salinan kad pengenalan penerima serta pengesahan daripada ketua kampung atau penghulu.

Jelasnya, kelonggaran dan alternatif itu diberikan bagi memastikan golongan sasar tidak lagi perlu bersusah-payah beratur dalam keadaan yang tidak selesa.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menambah baik pelaksanaan BKJ dari semasa ke semasa demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, selain menghargai setiap maklum balas membina daripada masyarakat,” ujarnya.

Terdahulu tular dalam media sosial foto dan video warga emas terpaksa beratur panjang dan lama dalam keadaan panas semasa mahu menuntut bantuan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast