HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat bagi mengesan remaja perempuan Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di sini, dimulakan 8 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu Azliza Ahmad berkata skop pencarian hari ini diperluas merangkumi kawasan seluas 0.57 kilometer persegi dengan tumpuan diberikan di laluan sepanjang kira-kira 800 meter di bukit terbabit.
“Pasukan SAR turut membuat pencarian dalam jarak 50 meter ke kiri dan kanan laluan ke puncak bukit berkenaan dan turut membuat flushing di kawasan yang telah dicari semalam, bagi memastikan mangsa tiada di situ,” katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Beliau berkata 40 anggota penyelamat terlibat dalam operasi hari ini termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.
Katanya, operasi hari ini turut melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM.
“Pencarian turut menggunakan khidmat dron Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor dan dua anjing pengesan dari JBPM.
“Setakat ini pasukan SAR belum menemukan sebarang petunjuk baharu,” katanya.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat ketika menuruni bukit selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat pada 10.50 pagi, Sabtu lepas.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap, seluar panjang hitam serta kasut biru.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati keluarga mangsa kelihatan di PKTK bagi mengikuti perkembangan SAR serta bacaan surah Yasin turut diadakan di situ. – BERNAMA















