JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor didakwa yang terlebih dahulu memulakan budaya menunggang dan mengambil kredit terhadap peruntukan kerajaan dan bukan Pakatan Harapan (PH).
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, BN Johor selama ini dilihat konsisten menggunakan bantuan kerajaan untuk meraih mata politik murahan.
“Sebagai contoh, pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) menimbulkan banyak persoalan dan menyusahkan rakyat. Sehingga hari ini saya masih tidak faham mengapa penerima bantuan perlu dihimpunkan di sesuatu tempat untuk menerima bantuan secara tunai.
“Sedangkan sistem yang lebih tersusun dan efisien sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan melalui bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang disalurkan terus ke akaun bank dan Sara yang menggunakan maykad penerima secara terus,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda MCA hari ini membidas kenyataan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang seolah-olah menuntut pengiktirafan sumbangan politik PH berhubung isu peruntukan kerajaan negeri, dengan menyifatkan tuntutan itu sebagai tidak masuk akal serta gagal memahami prinsip pengasingan kuasa dalam pentadbiran.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan, tindakan menganggap peruntukan kewangan tersebut sebagai satu bentuk ganjaran kepartian mempamerkan kekeliruan mengenai fungsi dana awam.
Kenyataan beliau dibuat sebagai mengulas kenyataan Jimmy Puah sebelum itu yang menyeru kerajaan Johor dan pemimpin politik tertentu di negeri itu agar bersikap jujur apabila bercakap mengenai kemajuan negeri serta tidak memadamkan sumbangan PH dan kerajaan Persekutuan demi kepentingan politik.
Jimmy Puah menegaskan, pentadbiran negeri tidak sewajarnya sekadar menikmati limpahan dasar, hasil pelaburan dan peruntukan besar daripada peringkat Persekutuan, namun pada masa yang sama terus meminggirkan peranan serta sumbangan politik gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jalex Lee berkata, jika kaedah kerajaan negeri itu bukan kerana mahu mencipta persepsi politik dan publisiti murahan, justeru apa lagi sebabnya mereka berbuat demikian?
“Apa yang kami lakukan hanyalah memperjelaskan fakta kepada rakyat supaya mereka mengetahui dari mana datangnya sumber peruntukan dan usaha sebenar yang dilakukan Kerajaan Madani.
“Rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat, bukannya persepsi yang sengaja dibentuk demi kepentingan politik tertentu,” ujar Ketua AMK Cabang Tebrau itu.
Justeru katanya, MCA diingatkan supaya tidak putar belit fakta dan politik perlu jujur terutama apabila Choo Seong mengatakan peruntukan kerajaan adalah untuk rakyat dan bukan untuk mana-mana parti politik.
Beliau berkata, Malaysia hari ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan benar-benar bersatu.
Setiap parti dalam kerajaan Perpaduan katanya, mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan kestabilan politik negara, bukannya saling menafikan atau memperlekehkan peranan parti lain dalam gabungan yang sama.
Dakwa beliau, malangnya ini yang dilihat terus berlaku dalam pentadbiran BN dan MCA khususnya di Johor.
“Malah dalam soal pengagihan jawatan seperti ahli majlis, ketua masyarakat dan ketua kampung sehingga hari ini PH masih tidak diberikan ruang yang adil walaupun kita telah mencapai kesepakatan membentuk kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Jadi jika benar mahu bercakap soal perpaduan dan kerjasama politik, mungkin sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin BN Johor belajar tentang erti hormat, keikhlasan dan pengiktirafan terhadap usaha bersama.
“Rakyat Malaysia perlu tahu perkara sebenar dan tidak terus diperdaya dengan sandiwara politik murahan yang hanya bertujuan mencipta persepsi demi kepentingan pihak tertentu,” katanya.- MalaysiaGazette
















