BANTING – Tayyib Ranch melaksanakan ibadah korban sebanyak 200 ekor lembu termasuk 20 ekor lembu sado di Tayyib Ranch Feedlot, Jalan Melati, Kampung Sungai Kelambu di sini.
Program dua hari sempena Aidiladha itu dijangka dihadiri peserta korban, sukarelawan serta orang ramai yang ingin merasai suasana Aidiladha dalam persekitaran komuniti dan kekeluargaan.
Tayyib Ranch berkata, aktiviti korban hari ini berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, manakala esok bermula seawal jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Tahun ini, sebanyak 200 ekor lembu akan dikorbankan termasuk 20 ekor lembu sado sebagai sebahagian daripada sambutan Aidiladha dan inisiatif kebajikan komuniti yang dianjurkan Tayyib Ranch,” menurut kenyataan itu.
Selain pelaksanaan ibadah korban, pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati suasana karnival bersama keluarga serta melihat sendiri proses penyembelihan dan pengagihan daging korban yang dijalankan di tapak program.
Sebanyak 1,000 pek daging korban akan diagihkan setiap hari kepada pengunjung bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam secara siapa cepat dia dapat sepanjang tempoh sambutan Aidiladha.
Dalam masa sama, Tayyib Ranch turut memperluaskan inisiatif kebajikan mereka menerusi pengagihan sebanyak 5,000 pek daging korban amal kepada masyarakat di beberapa kawasan termasuk Banting, Kuala Selangor, Hulu Langat, Rembau, Seremban, Klang, Kapar, Kuala Pilah dan Kuala Lumpur.

Difahamkan, program ini bukan sahaja bertujuan meraikan Aidiladha, malah menjadi platform memperkukuhkan hubungan komuniti menerusi semangat gotong-royong dan pengorbanan.
“Tayyib Ranch juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran program korban tahun ini.
“Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada pelanggan dan penyokong yang terus memberikan sokongan serta kepercayaan kepada Tayyib Ranch selama ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















