Kesesakan teruk di Gombak malam tadi ketika ramai anak perantau Pantai Timur pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha. - Foto: Threads archiprezmosis

KUALA LUMPUR – Platform media sosial sejak malam tadi dipenuhi dengan keluhan dan rintihan anak perantau Pantai Timur khususnya dari Kelantan, yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing.

Sebahagian besar mereka turut menyifatkan kesesakan yang dialami malam tadi sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dialami sepanjang pengalaman pulang ke kampung pada musim-musim perayaan lalu.

Difahamkan, ada anak perantau yang baru separuh jalan selepas 12 jam perjalanan apabila bertolak dari Shah Alam, Selangor pukul 8 malam tadi dan tiba di Merapoh, Pahang pukul 8 pagi tadi.

Antara yang melalui pengalaman perit itu ialah seorang pengguna Threads azzareefa yang memaklumkan dia hanya tiba di Merapoh jam 8 pagi tadi selepas bergerak dari Kuala Lumpur jam 8 malam tadi.

“Gerak dari KL pukul 8.00 pm semalam. Sekarang dah pukul 8 pagi baru sampai merapoh. Dan sampai sekarang stuck jem kat merapoh dekat sejam ye. Sekmung okay dok tu?” tulisnya.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial Threads amnibadrina berkata, antara punca kesesakan teruk di Merapoh-Gua Musang adalah disebabkan penutupan jalan di kawasan itu.

“Antara punca jem Merapoh – Gua Musang. Penutupan 1 lane jalan. 3 lane berubah jadi 1 lane, jem dari pukul 6:30 (pagi) till now (9:30) (pagi),” tulisnya.

Sementara itu, pengguna Threads therezekipenyiasat berkata, kesesakan teruk menghala ke Plaza Tol Gombak bermula sejak malam tadi apabila perjalanan dari Ukay Perdana di sini ke Gombak yang hanya beberapa kilometer mengambil masa kira-kira dua jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast