KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih serta merafakkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap titah Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada ATM, termasuk kerjasama Kerajaan Negeri Johor dalam pelaksanaan eksesais ketenteraan serta komitmen menyantuni veteran ATM.
ATM dalam kenyataannya memaklumkan, titah Pemangku Sultan Johor itu mencerminkan sinergi strategik yang kukuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Menurut kenyataan itu, kesediaan kerajaan Johor memberikan ruang dan kerjasama penuh bagi pelaksanaan latihan ketenteraan menjadi nadi penting kepada kelangsungan kesiagaan pasukan keselamatan negara.
“Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar merupakan prasyarat wajib bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM sekali gus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, ATM menjunjung kasih atas jaminan Tunku Ismail untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang disifatkan mampu melonjakkan moral warga perkhidmatan.
Katanya, pengiktirafan terhadap jasa para veteran membuktikan pengorbanan mereka sentiasa dihargai walaupun telah menamatkan perkhidmatan.
ATM menegaskan bahawa, ketumbukan itu sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan dan mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi.
ATM turut memberi jaminan akan terus memfokuskan sumber serta kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional selain kekal profesional dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
“ATM akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















