GEORGE TOWN – Pembunuhan seekor gajah Pygmy Borneo yang ditemukan dipenggal di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, Sabah disifatkan sebagai satu peringatan serius kepada pihak berkuasa untuk bertindak segera melindungi hidupan liar di negeri itu.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian itu bukan sekadar jenayah hidupan liar terpencil, sebaliknya mencerminkan peningkatan ancaman terhadap gajah Borneo yang semakin terancam.
Menurut beliau, penemuan gajah jantan yang dipotong muka dan mulutnya dalam corak berbentuk L sebelum gadingnya ditanggalkan menunjukkan tindakan pemburuan yang kejam dan disengajakan.
Katanya, kekejaman itu bukan sahaja melambangkan ketamakan pihak tidak bertanggungjawab, malah menunjukkan pengabaian terhadap kehidupan haiwan liar serta kedaulatan undang-undang.
“Dengan anggaran hanya 1,000 hingga 1,500 ekor gajah Borneo masih tinggal di Sabah, setiap kematian atau kecederaan serius adalah kehilangan besar kepada kepelbagaian biologi dan warisan alam sekitar negeri ini.
“Gajah Borneo ialah subspesies unik yang hanya terdapat di Borneo dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai terancam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohideen berkata, kejadian itu lebih membimbangkan kerana berlaku dalam kawasan hutan simpan yang sepatutnya menjadi habitat selamat untuk hidupan liar.
Beliau berkata, laporan pekerja ladang yang mendengar bunyi seperti letupan sehari sebelum bangkai gajah ditemukan turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terbabit.
“Kita juga bimbang berhubung isu seekor lagi gajah yang ditemukan mengalami kecederaan pada belalai, sekali gus menunjukkan risiko semakin meningkat terhadap hidupan liar akibat kawasan hutan dan ladang yang semakin terpisah.
“Sehubungan itu, operasi antipemburuan haram perlu diperkukuhkan segera termasuk meningkatkan rondaan di koridor hidupan liar dan kawasan hutan simpan yang berisiko.
“Tindakan penguatkuasaan bukan saja perlu menyasarkan pemburu haram tetapi juga orang tengah, pengedar dan pembeli yang mendapat keuntungan daripada perdagangan haram itu,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Hidupan Liar Sabah juga perlu bekerjasama rapat dengan polis, pihak berkuasa perhutanan, pengusaha ladang dan komuniti tempatan bagi mempertingkatkan risikan serta pengesanan awal aktiviti mencurigakan.
Katanya, penggunaan teknologi seperti dron, perangkap kamera, pengesanan GPS dan sistem pengawasan perlu diperluaskan untuk memantau habitat dilindungi dengan lebih berkesan.
“Hukuman bagi jenayah hidupan liar juga mesti cukup berat untuk menjadi penghalang sebenar dan bukan sekadar hukuman simbolik.
“Perlindungan hidupan liar tidak boleh bergantung kepada tindakan selepas tragedi berlaku, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan semua pihak termasuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat.
“Jika benar gajah itu dibunuh oleh pemburu haram, kematiannya tidak boleh menjadi satu lagi statistik jenayah hidupan liar, sebaliknya perlu menjadi titik perubahan untuk memperkukuh perlindungan spesies terancam di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette















