KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak-pihak berkaitan bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden provokasi prospek yang berlaku di Penjara Taiping, tahun lalu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh, terperinci dan berintegriti, demi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
Tambahnya, jabatan itu memandang serius setiap dapatan, syor serta perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan dan kakitangan penjara dalam insiden tersebut.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa komited dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan, pemulihan serta pematuhan terhadap hak asasi manusia dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan serta standard pengurusan penjara yang ditetapkan,” katanya.
Pada masa yang sama, jabatan itu menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan pramatang yang boleh menjejaskan proses penelitian dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.
Terdahulu, media melaporkan Panel Inkuiri Awam SUHAKAM dalam keputusan akhir inkuiri berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Jan 2025 yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas, mencadangkan Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara. – MalaysiaGazette
















