Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencatatkan lebih 5,000 keahlian baharu dari April lalu hingga bulan ini meskipun tanpa mengadakan sebarang program besar atau promosi, kata Ketua Penerangannya, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan PKR terus mendapat sokongan rakyat dan kekal sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dengan keanggotaan lebih sejuta ahli di seluruh Malaysia, kita lihat dari April hingga Mei sahaja, tanpa program besar dan berkembang secara organik tanpa promosi, jumlah keanggotaan baharu PKR melebihi 5,000 orang.

“Jadi, pada pandangan kami, Parti Keadilan Rakyat akan terus menjadi teras kepada Kerajaan Perpaduan dan parti yang bukan sahaja menghidupkan obor reformasi, tetapi memastikan harapan rakyat dapat dicapai,” katanya kepada media ketika ditemui pada
Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa sebuah parti politik didakwa telah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian selepas kempen dilancarkan, selain 46 peratus pemohon dikatakan tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

Bagaimanapun, Fahmi enggan mengulas bagi pihak parti berkenaan.

“Itu parti lain, saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai sebarang perkembangan berkaitan pemimpin PKR yang terlibat dalam pelancaran parti Bersama serta kemungkinan tindakan akan diambil, beliau memaklumkan setakat ini tiada perkembangan baharu.

“Tiada apa-apa perkembangan,” katanya.

Baru-baru ini, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajuinya, sudah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian selepas lima hari dilancarkan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang menerajui Bersama secara rasmi pada 18 Mei lalu, turut mendakwa 29 peratus keahlian pula datang daripada PKR yang pernah dianggotainya selama lebih 20 tahun.

Melihat kepada pecahan keahlian baharu Bersama dalam kalangan yang pernah menganggotai parti politik Melayu lain sebelum ini, Rafizi yakin ia bermakna ada segmen dalam setiap parti yang sudah lama kecewa dan sedang mencari ‘rumah’ baharu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast