P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menggesa siasatan telus dan tindakan undang-undang diambil sekiranya wujud unsur jenayah dalam insiden kematian tahanan, Gan Chin Eng di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu.

Beliau berkata, dapatan Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung kes tersebut bukan sahaja membimbangkan rakyat, malah mengundang rasa terkejut dan kecewa secara umum.

Antara dapatan SUHAKAM itu termasuklah menyentuh mengenai unsur kekerasan, kelewatan rawatan kecemasan, kecuaian dalam pengendalian tahanan serta kelemahan pengurusan institusi penjara.

Menurutnya, sekiranya dapatan itu disokong bukti dan hasil siasatan pihak berkuasa, individu yang terlibat dalam sebarang perlakuan keganasan, penyalahgunaan kuasa atau kecuaian sehingga menyebabkan kehilangan nyawa perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang, ingat itu.

“Status sebagai anggota penguat kuasa atau kakitangan institusi kerajaan tidak boleh dijadikan pelindung daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran hak asasi manusia atau jenayah terhadap nyawa tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Prabakaran berkata, Malaysia sebagai negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh sekadar bergantung kepada siasatan dalaman atau tindakan tatatertib semata-mata.

Sebaliknya, beliau menegaskan pendakwaan yang bebas, profesional dan telus perlu dilakukan sekiranya terdapat elemen jenayah dalam kes berkenaan.

Katanya, kematian dalam tahanan sentiasa menjadi perhatian rakyat kerana membabitkan soal hak asasi manusia, integriti institusi serta keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara.

“Rakyat mahu melihat tindakan yang nyata dan berkesan, bukan sekadar laporan atau janji pembaharuan, tetapi tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya terbukti bersalah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan mempercepat reformasi institusi membabitkan sistem penjara negara termasuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tahanan dan akses rawatan kecemasan.

Selain itu, katanya, mekanisme pemantauan bebas serta latihan hak asasi manusia kepada anggota penguat kuasa dan petugas penjara.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Chin Eng dan berharap proses perundangan dapat dilaksanakan secara profesional, bebas dan tanpa campur tangan mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast