KUALA LUMPUR – Pengerusi Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar menegaskan isu penderaan, budaya buli serta layanan tidak berperikemanusiaan di penjara dan lokap tahanan tidak boleh lagi dipandang ringan atau diselesaikan secara dalaman semata-mata.
Beliau berkata, perkara itu melibatkan soal hak asasi manusia, maruah individu serta kredibiliti sistem penguatkuasaan dan keadilan negara yang perlu sentiasa dipelihara.
Menurutnya, walaupun seseorang individu ditahan atau dipenjarakan kerana melakukan kesalahan, mereka tetap mempunyai hak sebagai manusia dan perlu dilayan secara adil, beretika serta mengikut lunas undang-undang.
“Hukuman yang dijatuhkan mahkamah tidak seharusnya membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk melakukan kekerasan fizikal, tekanan mental, ugutan, penghinaan atau membiarkan budaya buli terus berakar dalam institusi tahanan.
“Kita tidak mahu timbul persepsi bahawa seseorang yang berada di belakang tirai besi hilang hak untuk mendapat perlindungan, rawatan kesihatan dan layanan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata, institusi tahanan sepatutnya berfungsi sebagai tempat pemulihan, disiplin dan pembentukan semula sahsiah, bukannya menjadi lokasi yang menambah trauma, ketakutan atau penderitaan sehingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, dakwaan demi dakwaan yang timbul sejak kebelakangan ini juga menimbulkan keresahan rakyat terhadap tahap pemantauan serta integriti pengurusan tahanan di negara ini.
“Sekiranya perkara ini gagal ditangani secara menyeluruh, ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil langkah lebih tegas dan proaktif dalam memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) di semua penjara dan lokap tahanan.
Menurutnya, pemantauan berkala, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal, pemeriksaan kesihatan tahanan secara konsisten serta mekanisme aduan yang lebih telus dan bebas perlu diperkasakan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan tahanan sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap aduan berkaitan penderaan, kecuaian atau salah guna kuasa perlu disiasat secara bebas, telus dan tanpa kompromi.
“Mana-mana individu yang didapati terlibat dalam perbuatan tidak berperikemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa mengira pangkat atau jawatan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia sebagai negara yang menjunjung prinsip keadilan, hak asasi dan nilai kemanusiaan perlu memastikan sistem tahanannya sentiasa berada pada tahap profesional, berintegriti dan dihormati masyarakat antarabangsa.
Kenyataan itu susulan laporan Panel Inkuiri Awam SUHAKAM dalam keputusan akhir berhubung rusuhan di Penjara Taiping yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas.
Jabatan Penjara Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkaitan untuk meneliti laporan serta rumusan panel siasatan awam oleh SUHAKAM berhubung insiden dakwaan provokasi prospek di Penjara Taiping, tahun lalu.
Kata jabatan itu, pihaknya memandang serius setiap dapatan, syor dan perkara dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan yang mengaitkan aspek pengurusan serta petugas penjara dalam kejadian terbabit. -MalaysiaGazette
Siasat telus insiden kematian tahanan jika wujud unsur jenayah – Prabakaran















