MELAKA – Seorang wanita menafikan kes tular mendakwa dia hilang dan gagal dikesan selepas keluar membeli barang dapur di sebuah pasar raya di Taman Malim Jaya di sini Khamis lalu.
Sebaliknya, Noraslina Abdul Manap, 40, ketika menghubungi MalaysiaGazette memberitahu, dia keluar dari rumahnya di Pokok Mangga di sini pada 21 Mei lalu dengan pengetahuan dan keizinan suaminya, Mohamad Farouk Abdul Salam, 49.
“Saya menghubungi suami pada jam 1 tengah hari dan beritahu mahu keluar untuk menenangkan fikiran susulan masalah rumah tangga yang dihadapi antara kami dan dia mengizinkan.
“Namun saya terkejut apabila melihat gambar saya telah tular di Facebook pada 23 Mei lalu mendakwa saya keluar rumah dan tidak balik sedangkan bukan itu yang berlaku,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/24/isteri-hilang-ketika-beli-barang-dapur/
Noraslina yang merupakan pekerja pembersihan berkata susulan itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Malim jam 1.59 petang tadi untuk menafikan kejadian itu.
“Laporan polis juga dibuat untuk tindakan lanjut oleh pihak pejabat agama serta mahkamah syariah.
“Sebagai langkah keselamatan, sekarang ini pun saya tinggal bersama keluarga untuk mencari ketenangan,” tambahnya.
Sebelum ini, tular mesej kehilangan Noraslina yang dikatakan gagal dikesan selepas keluar membeli barang dapur di sebuah pasar raya di Taman Malim Jaya di sini pada 21 Mei lalu.
Suaminya Mohamad Farouk turut membuat laporan polis meminta orang ramai membantu mencari isterinya itu kerana talian telefonnya telah ditutup setelah usaha mencarinya di rumah keluarga dan kawan-kawannya juga tidak berhasil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan wanita tersebut tidak hilang atau lari dari rumah.
“Kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya. – MalaysiaGazette
















