HONG KONG – Harga minyak melonjak semula pada Khamis manakala saham Asia jatuh susulan serangan terbaharu Amerika Syarikat ke atas Iran menjadi ujian terkini terhadap gencatan senjata rapuh dalam perang di Asia Barat.
Kenaikan tersebut memadamkan rekod penurunan harga pada Rabu yang dipengaruhi harapan agar rundingan untuk mengakhiri konflik AS, Israel- Iran dapat dimuktamadkan.
Konflik Israel, AS dan Iran menyebabkan lonjakan harga dunia termasuk minyak mentah disebabkan laluan perdagangan global di Selat Hormuz ditutup.
Seorang pegawai Amerika berkata pihak tentera telah menembak jatuh empat dron Iran dan menyerang sebuah pusat kawalan di bandar selatan Bandar Abbas.
Pegawai itu, yang bercakap kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan, menyifatkan tindakan terbaru itu sebagai “terkawal, bersifat mempertahankan diri sepenuhnya dan bertujuan mengekalkan gencatan senjata”.
Media kerajaan Tehran melaporkan bahawa tentera Iran telah melepaskan tembakan ke arah empat kapal di selat itu, manakala Kuwait berkata sistem pertahanan udaranya sedang bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron.
Perkembangan itu berlaku walaupun seorang pegawai Iran berkata permusuhan baharu dengan Amerika Syarikat tidak mungkin berlaku, serta ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk “menyelesaikan tugas itu” jika perjanjian damai gagal dicapai.
Isyarat bercampur itu menyerlahkan keadaan rundingan yang rapuh bagi menamatkan perang di Asia Barat, yang telah menggoncang pasaran tenaga global dengan ketara.
Minyak mentah Brent Laut Utara, penanda aras utama antarabangsa, meningkat lebih dua peratus semasa dagangan Khamis kepada hampir AS$97 setong, manakala kontrak utama Amerika Syarikat, WTI, naik pada kadar sama kepada lebih AS$91 setong.
Pasaran saham di seluruh Asia mencatat kerugian pada Khamis, dengan penanda aras utama di Taipei dan Sydney ditutup lebih satu peratus lebih rendah, manakala Hong Kong dijangka turut mencatat penurunan dalam sejam terakhir dagangan.
Tokyo dan Seoul menyaksikan penurunan lebih sederhana, sementara Shanghai menjadi satu-satunya bursa utama yang menentang aliran itu dengan ditutup naik 0.1 peratus.
Keadaan itu berlaku selepas prestasi kukuh saham global pada Rabu apabila pelabur yang optimis terhadap kecerdasan buatan (AI) mengetepikan tajuk berita bercanggah mengenai Iran.
Di Asia, pengeluar cip Korea Selatan, SK hynix, mencapai permodalan pasaran AS$1 trilion, meletakkannya sebaris dengan gergasi teknologi serantau seperti Samsung Electronics dan TSMC, serta pengeluar cip Amerika Syarikat, Micron.
Lonjakan sektor teknologi itu berlaku serentak dengan kenaikan berterusan harga tenaga, yang mengancam beberapa ekonomi utama Asia yang bergantung kepada penghantaran minyak dari Asia Barat.
Ahli ekonomi memberi amaran bahawa bank pusat mungkin terpaksa menaikkan kadar faedah jika inflasi bertambah buruk akibat perang itu, sekali gus meningkatkan kos pinjaman dan berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Pada Rabu, “setiap tajuk berita mengheret pasaran ke arah berbeza, menyebabkan pedagang membuat kesimpulan sama yang telah mereka hadapi sejak beberapa minggu lalu,” kata Stephen Innes dari SPI Asset Management.
“Selat itu mungkin akhirnya dibuka semula sepenuhnya, tetapi sehingga ada sesuatu yang lebih kukuh daripada rangka kerja draf dan sandiwara politik, setiap tong minyak kekal terdedah kepada ketidaktentuan tajuk berita, walaupun di bawah AS$100,” katanya.
Angka utama sekitar 0715 GMT:
Brent Laut Utara: NAIK 2.7 peratus kepada AS$96.79 setong
West Texas Intermediate (WTI): NAIK 2.8 peratus kepada AS$91.13 setong. -AFP
















