KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Bhd susulan insiden tren LRT tergelincir landasan yang berlaku berdekatan Stesen Chan Sow Lin, pagi tadi.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan , tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah kepada mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab.
Langkah itu katanya, adalah demi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.
Tambahnya, APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden itu serta-merta.
“Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap “business-as-usual”.
“Kejadian sebegini perlu dipandang serius, dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini. Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” katanya menerusi kenyataan.
Anthony dalam kenyataan yang sama turut memaklumkan MOT menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian tersebut secara menyeluruh.
Jelasnya, laporan siasatan perlu dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan dihebahkan kepada umum dengan segera.
Anthony berkata, insiden tersebut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas meskipun kesemua mereka berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Pihak MOT tetap mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai,” ujarnya.
Pagi tadi, Rapid KL mengesahkan sebuah tren laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin pagi tadi.
Kejadian tersebut menyebabkan tren terbabit tidak dapat bergerak dan menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.
Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi hantaran video dan gambar yang dimuat turun oleh warga net.-MalaysiaGazette
















