SHAH ALAM – Kegagalan seorang pelajar yang memperoleh keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat tempat dalam program matrikulasi mengundang persoalan terhadap pelaksanaan dasar kemasukan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan pelajar memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat dalam program berkenaan.
Katanya, isu itu juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengenai sistem saringan yang digunakan.
“Kalau pelajar 11A pun tidak terpilih ke matrikulasi, sudah tentu ramai akan tertanya-tanya di mana silapnya.
“Kerajaan sebelum ini sudah umum secara jelas mengenai jaminan kepada pelajar cemerlang, jadi kementerian perlu beri penjelasan supaya perkara ini tidak terus menimbulkan persoalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan tular video dimuat naik seorang pengguna TikTok yang mendakwa anaknya gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi walaupun memperoleh keputusan 11A, sebaliknya hanya menerima tawaran ke politeknik.
Preakas berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyemak semula kes berkenaan dan memastikan tiada keciciran berlaku dalam sistem pengambilan.
Menurutnya, keadaan seperti itu boleh menjejaskan semangat pelajar yang berusaha keras untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Kita tidak mahu anak-anak yang sudah berusaha bersungguh-sungguh rasa kecewa dan hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan negara.
“Isu seperti ini perlu ditangani segera supaya keyakinan rakyat terhadap sistem pengambilan pelajar dapat dipertahankan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















