Tangkap layar yang menunjukkan pelajar 11A ini sudah menerima tawaran matrikulasi selain biasiswa Petronas.

SHAH ALAM – Dakwaan seorang pelajar cemerlang berbangsa India yang memperoleh keputusan 11A tidak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi kerajaan seperti yang tular di TikTok baru-baru ini didakwa tidak menggambarkan keseluruhan situasi sebenar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, semakan yang dibuat mendapati pelajar terbabit sebenarnya telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Selangor.

Menurutnya, pelajar berkenaan turut menerima peluang biasiswa daripada Petronas bagi menyambung pengajian.

“Selepas semakan dibuat, pelajar tersebut sebenarnya sudah menerima tawaran ke Kolej Matrikulasi Selangor dan pada masa sama turut mendapat peluang biasiswa daripada Petronas.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa isu berkaitan pengisian dan dokumentasi permohonan yang telah merumitkan proses tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Gunaraj

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video TikTok dimuat naik pengguna yang mendakwa anaknya yang memperoleh keputusan 11A gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi.

Sejurus selepas itu, ADUN Kota Kemuning (DAP), Preakas Sampunathan pula menuntut kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tampil memberi penjelasan selain menyemak tiada keciciran berlaku dalam sistem pengambilan.

Gunaraj berkata, pihak keluarga pelajar terbabit juga difahamkan mengakui peluang pendidikan sebenarnya sudah diberikan oleh kerajaan.

Katanya, dalam banyak kes, masalah teknikal seperti pengisian borang yang tidak lengkap, kesilapan dokumen atau kelewatan penghantaran maklumat boleh memberi kesan kepada proses permohonan dan tawaran pengajian.

“Kerajaan sentiasa komited memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang pendidikan sewajarnya melalui pelbagai saluran termasuk matrikulasi, biasiswa dan institusi pengajian tinggi awam.

“Sebab itu pelajar dan ibu bapa perlu lebih teliti ketika membuat permohonan selain mendapatkan bantuan daripada pihak sekolah, kaunselor atau agensi berkaitan supaya proses berjalan lancar,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang lengkap dan tepat sebelum membuat sebarang kesimpulan atau menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan. -MalaysiaGazette

Pelajar 11A gagal ke matrikulasi, ADUN Kota Kemuning minta penjelasan KPT

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast