Treler terbalik dalam kemalangan tersebut sehingga mengorbankan pemandunya

KULAI – Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran simpang Felda Taib Andak di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I Azizan Azis berkata, dalam kejadian itu mangsa iaitu lelaki berusia 50 tahun yang memandu treler jenis Volvo meninggal dunia di lokasi kejadian.

Azizan Azis berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 5.47 petang sebelum sebuah jentera bersama-sama empat anggota digerakkan ke lokasi.

Seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran simpang Felda Taib Andak, Kulai hari ini.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah lori Roro, treler Volvo, Perodua Axia dan Toyota Yaris.

“Pemandu lori Roro lelaki berusia 46 tahun dan pemandu Perodua Axia berusia 26 tahun didapati selamat, manakala pemandu Toyota Yaris dipandu lelaki berusia 59 tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan empat kenderaan itu remuk

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan kawasan turut dilakukan bagi memastikan keadaan selamat.

“Operasi dikawal pada pukul 6.55 petang dan tamat sepenuhnya pukul 7.10 malam,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast